47 pegawai jadi perintis

Wednesday, September 16, 2009

PUTRAJAYA 15 Sept. - Seramai 47 orang menjadi kumpulan perintis kepada program pertukaran antara pegawai kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang bertujuan mempercepatkan pembangunan kepimpinan kakitangan kedua-dua sektor di peringkat pengurusan.

Program Pertukaran Penempatan Antara Perkhidmatan Awam-GLC itu dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau percaya kesemua peserta tersebut mampu memenuhi objektif program iaitu bagi melahirkan pemimpin berprestasi tinggi pada masa depan.

"Anda masih muda dan saya lihat anda begitu bersemangat, bermotivasi serta sangat berminat untuk menjadi pemimpin masa depan.

''Saya akan tunggu laporan perkembangan program ini dan di akhir program nanti, ia pastinya berguna untuk anda semua dan baik bagi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program berkenaan di Kementerian Kewangan di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan Surat Amanah kepada para peserta tersebut.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat ke-20 Jawatankuasa Putrajaya Mengenai Prestasi Tinggi GLC.

Kesemua peserta program hadir pada majlis yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Menurut Perdana Menteri, peserta yang berjaya menamatkan program mampu meletakkan kecemerlangan negara ke tahap lebih tinggi

Program berkenaan merupakan lanjutan kepada program Tugasan Bersilang GLC yang dilancarkan awal tahun ini.

Di bawah program tersebut, peserta akan ditugaskan di lokasi hos untuk tempoh dua tahun dengan satu tinjauan semula dibuat selepas setahun.

Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC) yang mengambil bahagian ialah Khazanah Nasional Bhd. dan Lembaga Tabung Haji manakala GLC terlibat merupakan Axiata Group Bhd., Malaysia Airlines System Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd., Proton Holdings Bhd., Pos Malaysia Bhd., Telekom Malaysia Bhd. dan UEM Group Bhd. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya