|
|
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Penambahbaikan fasa kedua Hentian Puduraya dijangka lebih menyeluruh dengan pelbagai kemudahan asas kepada orang ramai bakal ditingkatkan.
Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, apabila penambahbaikan bernilai RM22 juta itu siap, terminal bas berkenaan akan lebih moden dan tersusun dari segi kemudahannya.
Katanya, antara penambahbaikan yang akan diberi tumpuan adalah kawasan menunggu di tingkat bawah Hentian Puduraya.
"Kawasan menunggu di bawah akan disediakan kemudahan berhawa dingin serta ditambah tiga kali ganda keluasannya di samping gerai dan medan selera kini yang berada di tingkat berkenaan akan dipindahkan ke tingkat atas berbumbung," katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat lawatan singkat ke Hentian Puduraya bagi meninjau perkembangan usaha penambahbaikan terminal bas tersebut.
Najib ternyata berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan UDA Holdings yang berjaya menyiapkan penambahbaikan fasa pertama itu dalam 51 hari.
Bagi fasa kedua, Najib berkata, ia akan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada penumpang sehingga tiga kali ganda daripada asal.
Mengulas lanjut, Jaafar berkata, antara kemudahan lain yang akan dipertingkatkan ialah penggunaan lif dan penambahbaikan sistem siar raya.
"Masalah kesesakan sebelum ini akibat ruang yang sempit tidak akan berlaku lagi apabila kedua-dua kemudahan itu ditingkatkan," jelasnya.
Beliau berkata, kemudahan surau baru akan dibina kepada orang ramai dan ia akan ditempatkan di tingkat bawah berbanding tingkat dua sebelum ini.
"Surau baru ini lebih luas dan mampu menampung bilangan orang ramai yang ingin bersolat terutama waktu maghrib," katanya.
Tambah Jaafar, satu lagi kemudahan baru yang akan disediakan UDA Holdings ialah kemudahan tempat permainan untuk kanak-kanak.
"Ia memberi keselesaan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil sementara menunggu waktu perjalanan.
"Semua kemudahan ini yang memakan kos RM22 juta dijangka siap hujung 2010 atau awal tahun 2011," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment