KUALA KRAU 17 Sept. - Felda memperuntukkan RM1.7 juta kepada 4,200 peneroka di 12 tanah rancangan di Wilayah Jengka di sini sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Muhamad Said berkata, peruntukan itu selaras dengan pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk memberi duit raya kepada peneroka.
Katanya, setiap peneroka yang mengusahakan tanah dengan Felda menerima sebanyak RM350 dan RM150 bagi mereka yang tidak menjual hasil ladang kepada agensi itu.
''Pemberian duit raya itu diharap menjadi semangat kepada peneroka untuk terus bersama Felda," katanya pada majlis penyerahan duit raya di Masjid Felda Tonkin Jengka 23 dekat sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din.
Menurut Ismail, daripada jumlah peruntukan itu, Felda Jengka 11 menerima duit raya sebanyak RM188,500, Felda Jengka 14 (RM129,000), Felda Jengka 15 (RM130,700), Felda Jengka 16 (RM123,150), Felda Jengka 17 (RM141,750) dan Felda Jengka 18 (RM 161,800).
Katanya, tanah-tanah rancangan lain yang turut menerima duit raya ialah Felda Jengka 19 yang memperoleh RM207,880, Jengka 20 (RM145,850), Jengka 21 (RM144,500), Jengka 22 (RM101,900), Jengka 23 (RM153,650) dan Jengka 25 (RM53,202).
Sementara itu, seorang peneroka Felda Jengka 15, Adnan Zainal, 56, berkata, pemberian bantuan hari raya tersebut membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan masyarakat berpendapatan rendah.
Katanya, peneroka perlu bersyukur dengan pemberian itu terutama semasa menyambut Aidilfitri.
''Kegawatan ekonomi dunia tidak menghalang Felda memberikan khidmat bakti dan sumbangan kepada peneroka kerana agensi itu memahami keperluan masyarakat terutama ketika musim perayaan,'' katanya.
Seorang lagi peneroka, Ismail Abdulah, 56, berkata, ada peneroka yang tidak berterima kasih dengan sumbangan duit raya itu kerana jumlahnya dikatakan sedikit.
''Bagi Keluarga saya, kami akan menggunakan wang yang disediakan itu untuk membeli keperluan seharian semasa menyambut Aidilfitri kelak," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment