Pecah benteng prasangka

Sunday, September 20, 2009

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



PM mahu rakyat Malaysia perkukuh semangat muhibah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam dan rakyat Malaysia memperkukuhkan semangat muhibah dan memecahkan benteng prasangka demi masa depan generasi muda.

"Marilah kita memanfaatkan hari perayaan sebegini untuk memulihkan dan memperbaiki hubungan yang dingin dan retak sesama kita umat Islam dan juga sesama kita rakyat Malaysia," katanya.

Beliau mengajak rakyat memperbaiki jambatan sedia ada dan membina rangkaian jambatan persefahaman yang baru.

"Pecahkan benteng prasangka, kebencian dan ketidakpedulian yang ada demi masa depan lebih baik untuk anak-anak kita," katanya dalam perutusan Aidilfitri pertama sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, umat Islam Malaysia harus menjadi pembawa obor perpaduan serta kemajuan dan selaku kaum majoriti di negara ini, mereka bukan saja mempunyai hak tetapi yang lebih penting, mereka mempunyai tanggungjawab untuk digalas.

Najib juga menggalakkan tradisi rumah terbuka diteruskan, bukan saja untuk membuka pintu rumah tetapi juga 'pintu hati' kepada semua, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

"Konsep rumah terbuka yang diamalkan selama ini menjadi manifestasi tuntas kepada gagasan 1Malaysia. Teruskan tradisi yang mulia ini kerana kita semua sebuah keluarga besar. Keluarga 1Malaysia," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini mempunyai banyak sebab untuk bersyukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang merdeka dan diberkati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dalam suasana majoriti umat Islam di seluruh dunia hidup tertekan baik dalam politik, ekonomi atau peperangan.

"Keadaan ini bukan terjelma secara sendiri tetapi 'hasil pengorbanan darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita', pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan negara," katanya.

Najib berkata, walaupun sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan kepelbagaian, Malaysia sudah berjaya menguruskannya menjadi pemangkin kepada kesatuan dan kemajuan.

"Sayangnya, ada pedagang dan penjaja kebencian yang cuba menafikan hakikat ini. Mereka cuba menanam ajaran tidak bersyukur dalam benak rakyat dalam usaha mencapai matlamat sempit ini.

"Mereka mendakwa bahawa semua kerajaan di dunia adalah sama baik, bahawa kemakmuran, keselamatan dan kemajuan boleh dicapai tanpa perancangan, usaha gigih dan pemantauan yang rapi," katanya.

Perdana Menteri bertanya jika dakwaan mereka itu benar, mengapa wujud perbezaan di antara negara yang maju dan mundur serta masih ada kebuluran dan berlakunya pembunuhan atas nama etnik. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya