|
|
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata, dalam hal ini, keutamaan harus diberikan kepada penduduk berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, perancangan sudah dibuat dan apa yang dapat dilihat sekarang ini ialah usaha merealisisakan semua perancangan itu seperti pembinaan surau, kompleks sukan, dan tempat meletak kenderaan.
"Ini penting kerana kita kena adakan kemudahan awam untuk penghuni PPR supaya mereka merasa selesa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan kurang upaya (OKU), kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan fakir miskin PPR Sungai Bonus, Setapak semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Pengarah Urusan DPS Bristol (M) Sdn. Bhd., Datuk Ismail Mohamed dan Pengerusi PPR Sungai Bonus, Razak Abd. Karim.
Menurutnya lagi, pada masa hadapan, jika kerajaan hendak membina rumah yang baru, lokasinya perlu luas bagi memudahkan prasarana yang strategik dibina.
Tambahnya, kawasan tanah PPR itu juga harus digazetkan sebagai kawasan hijau dan ditanam dengan pokok.
"Jika semua kemudahan itu lengkap, dengan senang hati orang ramai boleh melakukan aktiviti riadah bersama-sama keluarga," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik di PPR Sungai Bonus, yang telah didermakan oleh Datuk Ismail Mohamed dan Datuk Seri Zulhasnan Rafique.
Seramai 230 orang kurang bernasib baik telah menerima sumbangan duit raya dan cenderamata yang mana secara keseluruhannya berjumlah RM55,000.
"Tujuan kita hari ini adalah untuk meraikan mereka yang kurang bernasib baik sekitar kawasan ini.
"Selain itu, kita juga memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang tinggal di sini menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,"ujarnya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment