KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap syarikat-syarikat pemegang konsesi lebuh raya akan mengikuti langkah MTD Prime Sdn. Bhd. memberikan tol percuma di lebuh raya kendalian mereka sempena Aidilfitri ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, masih belum terlewat untuk mana-mana pemegang konsesi lebuh raya lain mengambil tindakan yang sama.
Katanya, langkah memberikan tol percuma adalah sesuatu yang bersifat amat prihatin dan bijak dalam memastikan perjalanan selesa orang ramai pulang ke kampung.
“Kalau lain-lain syarikat pemegang konsesi ambil langkah yang sama, ia bukan sahaja mengurangkan belanja tetapi kita semua dapat sampai ke destinasi dalam keadaan selamat dan tidak terperangkap dalam kesesakan yang mengambil masa lama.
“Mungkin mereka boleh ikut langkah yang dibuat MTD, belum terlambat lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara Biotechnology Corporation dan UEM Land Holdings Berhad di sini hari ini.
Muhyiddin turut memuji tindakan MTD Prime sebagai tawaran yang menarik kepada pengguna lebuh raya negara ini.
MTD Prime mengendalikan Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Lumpur ke Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 ke Jabor, Terengganu dengan menawarkan laluan tol percuma dari pukul 12 tengah malam ini hingga 5 pagi esok dan 24 September ini.
PLUS Expressway Berhad (PLUS) yang mengendalikan Lebuh Raya Utara Selatan iaitu rangkaian lebuh raya terpanjang di Malaysia pula memberikan potongan 20 peratus.
Antara pengendali lebuh raya utama lain adalah Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn. Bhd., Penang Bridge Sdn., Bhd., Linkedua (M) Sdn. Bhd., Konsortium Lebuhraya Butterworth - Kulim Sdn. Bhd., Syarikat Grand Saga Sdn. Bhd., Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd,. Lingkaran Transkota Holdings Bhd. dan Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd.
Pengendali lain ialah Projek Lintasan Kota Sdn. Bhd., Besraya (M) Sdn. Bhd., Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn. Bhd., Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd., New Pantai Expressway Sdn. Bhd. dan Prolintas Expressway Sdn. Bhd.
Yang lain ialah Metramac Corporation Sdn. Bhd., Maju Expressway (MEX) Sdn. Bhd., Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. - Utusan
0 comments:
Post a Comment