300 keluarga miskin dibantu

Wednesday, September 16, 2009

LEDANG 15 Sept. - Kerajaan negeri komited untuk membasmi masalah kemiskinan dengan kira-kira 300 buah rumah di kawasan Parlimen Ledang dikenal pasti untuk projek pembinaan semula serta baik pulih.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, projek yang mendapat peruntukan menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta Pejabat Menteri Besar Johor itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan tahun lalu, sebanyak 78 buah rumah baru telah dibina dan 71 rumah diperbaiki di kawasan Parlimen Ledang.

"Dengan matlamat yang disasarkan pada 2010 ini, kerajaan berharap dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di seluruh negara.

"Tanpa mengira orang miskin di kampung, pekan, bandar atau ladang, semua pihak akan mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Tadarus al-Quran serta penyampaian bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat daerah Ledang di Masjid Al-Taqwa, Tanjung Gading Barat, di sini semalam.

Turut hadir isterinya, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin yang juga Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Johor (Juita) dan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.

Pada majlis berkenaan, seramai 49 ibu tunggal menerima sumbangan dan 138 Ketua UMNO cawangan di Parlimen Ledang dipertanggungjawabkan untuk mengagihkan bantuan kepada golongan fakir miskin di kawasan masing-masing.

Selain itu, bantuan kepada 313 pelajar anak yatim serta 337 pelajar daripada keluarga susah di kawasan ini turut disalurkan melalui pihak sekolah.

Abdul Ghani berkata, kesedaran di kalangan syarikat swasta untuk menyalurkan bantuan kepada golongan susah memberangsangkan pada Ramadan ini.

"Tanggungjawab sosial ini telah disempurnakan dengan sebaiknya dan kita juga melihat jumlah pungutan zakat terus bertambah dari tahun ke tahun," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya