Saifuddin mahu muka baru tidak terlibat politik wang, rasuah

Thursday, September 24, 2009

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan muka baru yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah tersebut menjadi bukti bahawa parti orang Melayu itu kini serius membina imej baru yang lebih berintegriti di mata rakyat.

"Ia juga selari dengan semangat perubahan dalam UMNO yang ingin dibawa oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding di Bagan Pinang.

Ujarnya, jika calon tidak bersih diketengahkan dalam pilihan raya tersebut, UMNO mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.

Dalam hubungan ini Saifuddin menegaskan Barisan Nasional (BN) perlu memenangi kerusi DUN Bagan Pinang yang selama ini merupakan kubu UMNO.

"Kerusi itu adalah milik tradisi UMNO dan BN perlu bersungguh-sungguh untuk menang dengan majoriti yang besar," jelasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya