|
|
JOHOR BAHRU 10 Sept. - Setiap kali menjelang Ramadan, Asmah Sakiran, 42, akan sibuk di dapur menyiapkan kuih batang buruk untuk memenuhi tempahan para pelanggannya.
Kuih tersebut menjadi punca rezeki tambahan bagi ibu tunggal itu untuk mengumpul wang sebagai persiapan menjelang 1 Syawal.
Menurut Asmah, dia terpaksa membuat dan menjual batang buruk sejak bercerai dengan suaminya pada tahun 1998.
Katanya, rutin kehidupannya berubah selepas perceraian itu kerana selain daripada menjadi ibu, dia juga bertindak sebagai 'bapa' kepada empat anaknya yang masih kecil ketika itu.
Meskipun perit memikul status ibu tunggal, Asmah tidak pernah menyesal dengan takdir yang dilaluinya.
Baginya, tidak guna membazir air mata apabila sudah berpisah kerana ia tidak memberi manfaat kepadanya dan anak-anak.
"Bagi saya, hendak menangis biarlah ketika belum berlaku apa-apa lagi. Ini kalau sudah sampai peringkat bercerai, tiada apa lagi yang perlu ditangiskan.
"Apa yang perlu dilakukan adalah mencari jalan untuk meneruskan kehidupan bagi membesarkan anak-anak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Asmah yang ditemui di rumahnya di Jalan Sahabat, Kampung Melayu Majidee di sini berkata, sejak bercerai dia terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anak yang masih bersekolah.
Katanya, sewaktu bercerai dia tidak bekerja dan kemudian terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung hidup.
"Saya kira beruntung kerana menumpang di rumah pusaka bersama ibu, Khuzaimah Ibrahim. Ibu yang banyak menolong saya sejak dulu hingga kini," katanya.
Selain mengambil upah menjaga anak-anak jiran, Asmah turut membuat dan menjual kuih setiap kali Ramadan bagi menambah pendapatan.
"Sebelum ini saya buat kuih batang buruk dan tolong jual kuih orang. Tahun ini saya hanya buat kuih batang buruk sahaja. Alhamdulillah, setakat ini saya sudah menjual lebih 300 botol.
"Sesiapa yang tahu kuih batang buruk buatan saya, mereka akan tempah lagi. Hari biasa ada juga saya buat ikut permintaan. Nak besarkan perniagaan ini tidak mampu kerana kosnya besar," katanya.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Asmah yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dua tahun lalu berkata, dia sering melatih anak-anak agar bersederhana dalam segala hal.
Katanya, anak-anak pun tidak meminta banyak kerana mereka tahu kesusahan yang ditanggung olehnya.
"Saya beruntung kerana anak-anak faham. Anak sulung, Mohd. Warith Zainal, 17, bekerja separuh masa di Secret Recipe bermula 5 petang hingga 11 malam sejak tahun lalu. Dengan wang gaji itulah dia membeli keperluan sendiri dan membantu keluarga," katanya.
Menurut Asmah, walaupun telah bercerai, dia tidak pernah menghalang anak-anak untuk bertemu dengan ayah mereka. - Utusan
0 comments:
Post a Comment