Pesara ceburi perniagaan pakaian

Tuesday, September 15, 2009


Saharah Abdul Samad di butik pakaian batik miliknya di Bazar Warisan, Greentown Mall, Perak. - UTUSAN/Ani Awang

IPOH 14 Sept. - Minat berniaga secara kecil-kecilan sejak bertugas di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah mendorong seorang suri rumah nekad mencuba nasib menjalankan perniagaan dengan membuka kedai pakaian sendiri di Bazar Warisan, Greentown Mall di sini.

Menurut Saharah Abdul Samad, 59, dia melaburkan wang berjumlah RM25,000 bagi memulakan perniagaan tersebut.

"Saya membuka kedai ini dengan menjual pakaian bercorak batik untuk lelaki dan wanita.

"Pakaian jenis batik sutera begitu digemari kerana ia memberikan cita rasa yang dikehendaki oleh seseorang terhadap pakaian jenis itu. Permintaan juga menggalakkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Saharah berkata, baju rehan lelaki dijual pada harga di antara RM85 hingga RM90 sehelai manakala sepasang baju wanita pula dijual dengan harga RM250.

Di kedainya itu, pelanggan boleh mendapatkan koleksi pakaian baju kurung Pahang, baju kurung Perak, baju kurung moden, kebaya Bandung, baju Melayu dan baju rehan bercorak batik.

Tidak terkecuali ialah kain pelikat, kain batik, kain samping dan ubat-ubatan tradisional.

Tambah Saharah, kesemua baju yang dijual di kedainya itu jenis yang sudah siap kerana ia lebih memudahkan pada pelanggan dan menjimatkan.

"Pelanggan mudah kerana dengan hanya memilih warna yang sesuai, ia boleh digayakan pada hari raya ini," katanya.

Jelas Saharah, pakaian yang dijual di kedainya diperoleh daripada pembekal di Terengganu, Kelantan dan Indonesia.

"Saya pergi sendiri ke negeri itu untuk memilih corak pakaian batik yang berkualiti sama ada batik jenis tulisan tangan dan batik cetakan," katanya yang berasal dari Taman Meru, Jelapang, di sini.

Dia yang sentiasa mendapat sokongan ahli keluarganya yakin perniagaan itu mampu membantu dikembangkan lagi pada masa akan datang.

Mereka yang berminat dengan pelbagai jenis pakaian batik boleh berkunjung ke kedai Saharah di Lot 41, Tingkat 1, Bazar Warisan, Greentown Mall, di sini. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya