Kota Fesyen jadi pusat perdagangan terkenal dunia

Wednesday, September 23, 2009

MELAKA 22 Sept. – Kerajaan negeri yakin Kompleks Perniagaan Kota Fesyen Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh yang dibuka sejak Mac lalu mampu menjadi pusat perdagangan baru yang terkemuka di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, walaupun masih terdapat beberapa lot kedai yang masih kosong namun ia dijangka dipenuhi menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, pada masa depan, pihaknya bercadang untuk menambah 26 lot kedai baru di kawasan tersebut sebagai persediaan menampung permintaan perniagaan dijangka meningkat di sekitar kawasan itu.

‘‘Kota Fesyen ini antara projek awal yang telah siap dalam usaha menjadikan kawasan MITC ini sebagai pusat dagangan antarabangsa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kota Fesyen meliputi projek pembinaan 173 unit kedai dua tingkat di atas tanah berkeluasan 4.16 hektar dengan kos RM52 juta itu mula dibina pada Ogos 2007.

Ia siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu iaitu enam bulan lebih awal daripada tarikh asal yang sepatutnya siap.

Menurut Mohd. Ali, nama MITC semakin popular di seluruh negara dan sedang meniti masa untuk popular di peringkat antarabangsa terutama ketika peniaga yang sedia ada mula meraih keuntungan.

‘‘Saya percaya lebih banyak lagi pusat perniagaan terkenal akan membuka kedai mereka di Kota Fesyen ini seperti kedai karpet terkenal di India, Matahari Carpets milik usahawan karpet Shashi G. Jogi,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Mohd. Ali turut mempelawa penduduk negeri ini merebut peluang membuat pelaburan dengan menyewa lot perniagaan yang masih kosong di Kota Fesyen bagi tujuan menjalankan kegiatan perniagaan di situ.

Ini kerana, katanya, berbanding peniaga luar dari Melaka, golongan itu dilihat lebih berminat menjalankan perniagaan di Kota Fesyen berbanding penduduk Melaka sendiri.

‘‘Oleh itu, saya pelawa penduduk negeri ini terutama mereka yang ada membuat simpanan agar bijak mengguna peluang menyewa lot-lot kedai yang masih ada di Kota Fesyen,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya