|
|
KUCHING 16 Sept. - Gagal dalam bidang akademik tidak seharusnya dijadikan faktor untuk tidak berusaha dalam bidang lain bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan masing-masing.
Dalam era dunia globalisasi ini, masih banyak ruang serta peluang yang boleh diteroka untuk menjadi insan yang mampu berdaya saing.
Apa yang penting adalah usaha dan kesungguhan untuk memperbaiki diri bagi menyertai segala peluang yang disediakan oleh kerajaan mahupun sektor swasta.
''Ibu bapa pula jangan berasa malu untuk menghantar anak ke mana-mana institut kemahiran untuk memperoleh ilmu pengetahuan jika anak mereka kurang cemerlang dalam bidang akademik.
''Jangan marah anak tetapi buka minda seluas-luasnya untuk mencari jalan bagaimana untuk menjadikan mereka berjaya meskipun tanpa kelulusan akademik yang baik iaitu dengan cara memperoleh kemahiran," kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.
Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Sekolah kepada pelajar kurang bernasib baik di Sekolah Kebangsaan Semerah Padi di sini baru-baru ini.
Fadillah berkata, di Sarawak, kerajaan negeri berusaha merealisasikan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) yang dijangka mampu menjana peluang pekerjaan yang memerlukan pekerja berkemahiran.
Katanya, mereka yang mempunyai kemahiran juga berpeluang untuk menikmati pendapatan lumayan memandangkan ia sudah menjadi satu permintaan dan keperluan di negara yang mahu menuju ke arah kemajuan.
Misalnya, kata beliau, seseorang yang mempunyai kemahiran mengimpal atau tukang kimpal boleh memperoleh sehingga RM3,000 sebulan walaupun sebelum ini dia kurang baik dalam pelajaran.
''Ini bermakna pada era globalisasi ini, semua anggota masyarakat mempunyai peluang dan pilihan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing tetapi dengan syarat harus berusaha meningkatkan diri dengan apa juga kemahiran yang ada.
|
|
''Satu lagi contoh, seorang remaja yang ada kemahiran boleh membeli motosikal lama dengan harga murah dan kemudian diubah suai dengan elok sebelum boleh dijual dengan harga yang tinggi, maka ia sudah mendatangkan pendapatan," ujarnya.
Pada masa yang sama, Fadillah memberitahu, mereka yang memiliki kemahiran seumpama itu akan melahirkan idea yang inovasi serta kreatif dan ciri-ciri tersebut penting kepada Malaysia untuk bergerak ke depan sebagai sebuah negara maju pada era globalisasi ini.
Menurutnya, keadaan itu boleh disamakan seperti orang berniaga perlu modal kewangan dan sebaliknya jika negara ini ingin maju juga harus ada modal insan atau tenaga kerja yang pakar, profesional dan berkemahiran.
Bagaimanapun, jelasnya, peranan ibu bapa penting di sini dalam melahirkan golongan tenaga kerja yang memiliki kelayakan atau kemahiran berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan menanamkan dalam diri anak-anak kekuatan, semangat dan agama di samping budaya serta adat resam.
''Sewaktu saya kecil, saya telah mengikut ayah pergi kebun dan dia memaklumkan bahawa dulu kawasan kebun itu hutan belantara tetapi dia berusaha membersihkan tanah itu supaya ada yang ditinggalkan untuk anak-anaknya.
''Ironinya, ayah saya telah memainkan peranan malah menanamkan semangat dan jati diri pada kami adik-beradik untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam melakarkan kejayaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Fadillah mengingatkan ibu bapa dan pelajar supaya tidak menjadikan kesusahan dan kepayahan hidup sebagai penghalang kepada mereka untuk meraih kejayaan.
Sehubungan itu, Fadillah menyarankan ibu bapa untuk tidak mengabaikan persekolahan anak masing-masing.
''Sebagai ibu bapa, kita harus menyokong anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan, kalau mereka lemah dalam akademik, galakkan mereka dalam bidang kemahiran.
''Ini mungkin akan membantu mereka mencapai kejayaan memberangsangkan sekali gus mengeluarkan kita daripada kepompong kemiskinan," ujarnya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment