|
|
SEGAMAT 11 Sept. - Pembangunan sosio ekonomi yang dilaksanakan Felda sebenarnya merangkumi semua aspek dan ia memberi peluang sepenuhnya kepada golongan peneroka untuk menaik taraf kehidupan keluarga masing-masing.
Tidak terhad kepada pendapatan hasil dari ladang kelapa sawit atau getah semata- mata, pelbagai galakan diberikan Felda dalam membolehkan golongan peneroka mencari pendapatan tambahan.
Salah seorang peneroka di Felda Maokil 1, dekat sini, Baharudin Ridwan, 55, yang menyahut cabaran kerajaan turut menjadi seorang petani berjaya dengan menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.
Menceritakan kerjaya keduanya sebagai seorang usahawan tani, Baharudin memberitahu, ia bermula pada 2002 bersama lapan orang rakannya.
''Kami mendapat keizinan daripada pihak pengurusan Felda Maokil untuk menanam kacang panjang dan timun di tanah rizab seluas 0.4 hektar.
''Namun sedar tidak sedar, kegiatan pertanian yang kami usahakan ini telah berkembang sehingga menjadi seluas 14 hektar," katanya.
Menurutnya, tanaman lain yang turut diusahakan bersama rakan-rakannya termasuk kacang buncis, cili, jambu batu dan patola.
Katanya, dari semasa ke semasa, pihak Jabatan Pertanian daerah akan melakukan lawatan di kawasannya dan pelbagai khidmat nasihat, peralatan terkini serta subsidi disalurkan.
''Perusahaan pertanian ini pernah mendapat pengiktirafan dengan mendapat anugerah Naib Johan Pertandingan Amalan Pertanian Baik Peringkat Negeri Johor untuk kategori tanaman kontan.
''Kami juga telah mempunyai rangkaian pemborong tetap dan mereka akan mengambil sayur-sayur ini untuk diagihkan di seluruh daerah Segamat serta daerah berhampiran," katanya.
Dengan kawasan tanaman yang semakin luas, dia turut mengambil golongan belia di Felda Maokil untuk bekerja bersamanya bagi mengusahakan kegiatan pertanian itu.
Sementara itu, Pengurus Rancangan Felda Maokil 1, Kamarulzaman Nordin, 56, berkata, pihaknya telah memberi kebenaran bagi penggunaan tanah rizab itu bagi membantu golongan peneroka memperoleh pendapatan sampingan.
''Saya berbangga kerana mereka komited dengan peluang yang diberikan dan telah membuktikan kejayaan," katanya.
Kamarulzaman yang telah 17 tahun menerajui kawasan rancangan tersebut berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan pembangunan menyeluruh dalam menjaga kepentingan masyarakat Felda.
Pelbagai perubahan telah diusahakan pihaknya dan masyarakat Felda kini mampu menikmati kehidupan yang lebih selesa dan pendapatan lumayan. - Utusan
0 comments:
Post a Comment