WASB terajui daging segar

Monday, September 14, 2009


Muhammad Ikmal Opat Abdullah menunjukkan daging lembu segar tempatan yang dijual di kios jualan daging di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 13 Sept. - Widad Agrofarm Sdn. Bhd. (WASB), pembekal dan pengusaha lembu fidlot di negeri ini optimis bakal menjadi peneraju sumber daging segar tempatan dengan harga berpatutan terbaik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, syarikat itu yakin dapat memenuhi sasaran tersebut dengan pembukaan kios daging segar tempatan WSAB di seluruh negara.

Buat permulaan, katanya, syarikat berkenaan merancang untuk membuka 50 kios jualan di negeri utara Semenanjung dalam tempoh dua tahun akan datang sebelum mengembangkan konsep berkenaan ke negeri-negeri lain.

"Kami percaya mampu menjual daging lembu tempatan yang bersih, segar, berkualiti dan halal pada harga terbaik untuk pengguna kerana mempunyai kemudahan lengkap bagi mendapatkan bekalan.

"Ini termasuk memiliki ladang milik syarikat di Sungai Laka di Changlun, Kedah selain mempunyai kemudahan pusat pengumpulan lembu yang berfungsi sebagai pusat kuarantin di Daerah Kanchanaburi, Thailand yang turut diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kiosk Jualan Daging Segar Tempatan WASB yang disempurnakan oleh Pengarah JPV Kedah, Dr. Abd. Razak Mohd. Zailan di Jalan Langgar di sini hari ini.

Muhammad Ikmal berkata, MASB merancang untuk mengembangkan konsep kios daging segar tempatan syarikat itu menerusi aktiviti francais bagi membolehkan lebih ramai usahawan mengambil peluang daripada perniagaan tersebut.

Katanya, tiga kios akan dibuka di sekitar kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sebelum akhir tahun ini sementara permohonan untuk menjadi francaisi dibuka mulai sekarang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelancaran kiosk pertama syarikat itu yang dilancarkan hari ini, beliau memberitahu ia merupakan satu-satunya gerai daging segar tempatan di negara ini yang mengutamakan kualiti dan kebersihan daging.

Katanya, ia beroperasi mulai pukul 7 pagi hingga 6 petang setiap hari selain menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan yang membuat tempahan di sekitar bandar raya ini.

"Selain daripada jualan secara runcit, pelanggan boleh membuat pesanan menerusi bebas tol 1800-88-6116," katanya.

Menurut Muhammad Ikmal lagi, sempena pelancaran kios itu, WASB akan memperkenalkan harga promosi iaitu sebanyak RM17 bagi sekilogram daging berbanding pasaran semasa iaitu sekitar RM19 bagi kuantiti yang sama bermula dari 10 September lalu hingga Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, pelanggan yang memiliki kad diskaun dengan menjadi ahli terus layak membeli pada harga RM17 setelah tempoh promosi tamat. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya