Ganjaran guru jika sekolah cemerlang

Thursday, September 17, 2009

LIMBANG: Kerajaan bersedia memberi ganjaran kepada pengetua, guru besar serta guru terlatih yang berjaya membawa sekolah mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran ketika ini dalam proses mengkaji bagaimana ganjaran berkenaan dapat diberi kepada golongan pendidik yang bekerja keras demi mencapai status sekolah cemerlang.

Katanya, melalui pemberian ini, guru tidak perlu menunggu bonus tahunan atau kenaikan pangkat bagi mendapat ganjaran dalam bentuk kewangan kerana mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa.

"Kementerian akan menetapkan suatu kriteria dalam memilih sekolah cemerlang dengan sekolah berkenaan akan mendapat Purata Nilai Gred (PNG) seperti pelajar di universiti.

"Kita tetapkan had nilai PNG kategori cemerlang dengan sekolah, tidak kira di bandar atau luar bandar yang berjaya melepasi had itu layak menerima ganjaran khas," katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Kebangsaan Lubok Tekurok, di sini, kelmarin.

Mohd Puad berkata, melalui pemberian ganjaran berkenaan, ia akan menggalakkan guru bersaing meningkat prestasi sekolah tidak kira apa juga kategori sekolah berkenaan.

"Kita belum putuskan berapa jumlah ganjaran yang akan diterima guru sekolah cemerlang namun saya boleh katakan, ia memang lumayan.

"Melalui cara ini, guru akan lebih proaktif mendidik pelajar dengan mereka tidak perlu lagi bergantung kepada bonus tahunan saja," katanya.

Difahamkan pemberian ganjaran berkenaan akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran dalam masa terdekat sebelum dilaksanakan bermula tahun depan. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya