Loji arang batu dibina di Semenanjung Dent

Wednesday, September 16, 2009

KOTA KINABALU 15 Sept. - Kerajaan telah mengenal pasti kawasan Semenanjung Dent berhampiran Felda Sahabat di Lahad Datu sebagai tapak yang sesuai bagi membina loji arang batu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pembinaan loji bagi menampung keperluan elektrik penduduk di sekitar pantai timur negeri ini itu akan dilakukan segera sebaik sahaja kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diterima.

"Selepas kajian dibuat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah bekalan elektrik adalah dengan membina loji arang batu.

"Lokasinya jauh dari komuniti masyarakat dan kawasan itu juga kepunyaan Felda iaitu di Semenanjung Dent," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sedekah jariah al-Mubarak di Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu di sini semalam.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan sedia menjadikan Felda Sahabat yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Lahad Datu sebagai lokasi baru loji janakuasa arang batu di negeri ini.

Beliau memberitahu, loji janakuasa arang batu yang sebelum ini dicadangkan dibina di Lahad Datu dan Sandakan perlu dibina segera bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik khususnya di Pantai Timur Sabah.

Loji janakuasa arang batu yang boleh menghasilkan tenaga elektrik sehingga 300 megawatt pada asalnya dicadangkan dibina di Silam, dekat Lahat Datu tetapi ditolak kerajaan negeri selepas mendapat bantahan penduduk tempatan.

Ia kemudian dipindahkan ke Sandakan tetapi turut ditolak penduduk tempatan yang kemudiannya menggesa kerajaan supaya tampil dengan loji janakuasa menggunakan teknologi mesra alam.

Menurut Musa, pembinaan loji arang batu di kawasan itu perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat khususnya di kawasan pantai timur Sabah yang sedang pesat membangun.

"Masyarakat di sana menderita, peniaga mengadu termasuk semua dewan perniagaan Cina dan persatuan perniagaan dan saya fikir alternatif di Pantai Timur ialah membina loji arang batu.

"Sudah tentu kita maklum populasi (di pantai timur) sedang bertambah dan industri perniagaan meningkat jadi kita perlukan tenaga," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai bantahan keras sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Musa berkata, beliau berharap semua pihak memahami keperluan pembinaan sebuah loji tenaga di kawasan itu.

Jelasnya, apa yang penting adalah teknologi yang akan digunakan dalam pembinaan loji berkenaan adalah selamat dan telah digunakan oleh negara-negara lain termasuk negara maju. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya