RM500,000 untuk rakyat miskin di Jerangau

Monday, September 14, 2009

Oleh Che Ku Zainal Muda
bhkt@bharian.com.my

Penduduk terima antara RM300 sehingga RM400

DUNGUN: Menjelang Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi, nasib golongan fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya tidak pernah dilupakan kerana masih banyak pihak yang cakna dan sanggup membantu mereka sama ada dari segi kewangan ataupun material.

Selain bantuan individu, kerajaan juga tidak pernah mengabaikan golongan kurang berkemampuan menerusi pelbagai program termasuk Perumahan Rakyat Termiskin, subsidi diesel, peralatan menangkap ikan, baja dan juga penyerahan wang ehsan atau dana khas raya kepada warga yang hidup terhimpit dan memerlukan bantuan.

Seorang warga emas, Tuan Long Muhammad, 80, berkata dia amat bersyukur dengan pemberian itu kerana dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga menyambut hari lebaran.

Golongan miskin sepertinya menerima dengan besar hati bantuan yang diberikan itu bagi membolehkan mereka membuat persiapan di bulan puasa dan menanti hari lebaran, tambahnya.

"Pak cik berterima kasih kepada pihak kerajaan yang memberi wang ehsan kepada kami golongan miskin dan wang ini akan pak cik belanjakan untuk persiapan Aidilfitri," katanya.

Tuan Long adalah seorang daripada 1,300 penerima wang ehsan bagi mukim Jerangau, yang mana kawasan itu menerima peruntukan daripada kerajaan negeri sejumlah hampir RM500,000 untuk diagihkan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya bagi empat zon iaitu Kampung Jerangan Sungai, Felda Jerangau A dan B, Kampung Lintang dan Kampung Dendang.

Tinjauan Berita Harian di Kampung Jerangau Sungai, mendapati golongan sasaran seperti fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya menerima bantuan wang ehsan di antara RM300 sehingga RM400 mengikut keadaan taraf hidup mereka.

Bagi Hamzah Ismail, 80, pula pemberian wang ehsan ini membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib golongan kurang berada.

Dia yang tinggal di Felda Jerangau A berkata, wang ehsan ini seakan membalas jasa-jasa yang telah dicurahkan sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi.

"Sekarang negara sudah 52 tahun mencapai kemerdekaan dan negeri ini yang dahulunya sangat mundur telah banyak perubahan dari pelbagai segi, terutama mengenai pembangunan infrasturktur.

"Pemberian wang ehsan ini sangat berbaloi kepada kami yang boleh dikategorikan sebahagian daripada pejuang kemerdekaan dan hari ini saya serta rakan-rakan berterima kasih dan wang ini boleh kami gunakan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya