LKIM Perlis agih lebih RM2j kepada nelayan

Friday, September 18, 2009

KANGAR 17 Sept. - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengagihkan lebih RM2 juta Elaun Sara Hidup Nelayan kepada kira-kira 950 nelayan termiskin di negeri ini sejak 2008 hingga bulan ini.

Pengarah LKIM negeri, N. Hashim Ab. Rahman memberitahu, bantuan itu disalurkan kepada kumpulan sasar mulai pertengahan tahun lepas menerusi peruntukan khas yang disediakan oleh Kerajaan Pusat bagi meringankan beban nelayan.

"Pengagihan elaun itu dibuat mulai Jun 2008. Jumlah penerimanya tidak tetap kerana ia dibayar mengikut kelayakan setiap bulan. Namun, secara puratanya mereka yang mendapat bantuan ini kira-kira 950 orang sebulan sepanjang tahun 2008, kemudian meningkat kepada kira-kira 970 orang bagi 2009.

"Daripada kira-kira 970 nelayan miskin di Perlis yang layak diberi elaun tersebut tahun ini, 245 orang adalah nelayan pantai yang menetap di kawasan Parlimen Arau. Ia melibatkan penduduk di Kampung Kuala Sanglang, Kampung Sungai Padang, Kampung Simpang Empat dan Kampung Sungai Baru di sini," ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

N. Hashim memberitahu, mereka yang menerima elaun tersebut terlebih dahulu disahkan layak oleh Jabatan Perikanan negeri berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Ada tiga syarat untuk melayakkan seseorang itu menerima elaun tersebut. Pertama, nelayan terlibat mesti mempunyai lesen bot Zon A dan Zon B (nelayan pantai) secara sah.

"Syarat kedua pula melibatkan para pekerja bot atau awak-awak. Mereka mesti mempunyai kad nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan negeri. Jika awak-awak tidak memiliki kad itu mereka tidak diberikan elaun berkenaan,'' ujarnya.

Syarat ketiga pula katanya, pemilik bot dan awak-awak mesti menjalankan aktiviti penangkapan ikan sebagai pekerjaan.

Menurutnya, Kerajaan Pusat melalui Bajet 2009 memperuntukkan RM300 juta kepada kumpulan sasar untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan.

Daripada jumlah itu katanya, RM180 juta disediakan untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot nelayan pantai, manakala RM120 juta lagi sebagai insentif tangkapan ikan.

Jelasnya, insentif itu ialah 10 sen dibayar kepada nelayan bagi setiap satu kilogram hasil tangkapan setelah ikan berkenaan dibawa ke pusat pendaratan yang diwartakan oleh kerajaan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya