Kerepek ubi lada hitam Zohora jadi rebutan

Tuesday, September 15, 2009

JOHOR BAHRU 14 Sept. - Sejak awal puasa, Zohora Abd. Aziz, 48, sibuk memenuhi permintaan para pelanggannya yang semakin meningkat. Dia yang menjual pelbagai kerepek ubi memberitahu, antara yang mendapat permintaan tinggi adalah kerepek ubi lada hitam.

Katanya, kerepek tersebut adalah resipi yang diperoleh ketika mengikuti kursus anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Di kalangan penggemar kerepek, ini adalah perasa baru dan sebab itu ia digemari. Untuk membuat kerepek ubi lada hitam, saya menyediakan rempah sendiri.

"Ubinya pula saya beli di Layang- Layang, Kluang. Saya beli kerepek kosong, kemudian barulah saya goreng dengan perencah yang dibuat itu," katanya.

Zohora yang ditemui di rumahnya di Kampung Plentong Baru, Masai di sini baru-baru ini berkata, dia akan menggoreng sebanyak 100 kilogram ubi pada setiap menggoreng.

Dia tidak menafikan kerepek ubi lada hitam lebih mahal berbanding kerepek ubi masin, kerepek ubi jagung, kerepek ubi pedas kering, kerepek bawang dan kerepek keromak.

"Saya dibantu oleh dua pekerja. Setiap tiga kali sehari, barulah saya menggoreng kerepek. Setakat ini kebanyakan pelanggan saya beli secara pukal dan kemudian mereka jual di tempat lain," katanya yang mempunyai kira-kira 20 pelanggan tetap.

Zohora yang memulakan perniagaan membekalkan kerepek sejak empat tahun lalu berkata, selain menjual secara pukal, dia turut menjual kepada orang perseorangan dengan harga antara RM32.50 hingga RM50 atau antara RM7 hingga RM11 sekilogram.

Bagaimanapun, permintaan tahun ini berkurangan berbanding tahun lalu yang berjaya dijual sehingga dua tan.

"Penjualan kerepek ini tidak terhad pada musim perayaan sahaja. Di luar musim pun saya buat tapi bergantung kepada permintaan.

"Sekarang ini saya sedang berusaha untuk memasarkan kerepek jenama Zohora Enterprise ke pasar raya pada masa akan datang," katanya penuh semangat. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya