Biskut bantal peluk Saloma buruan pelanggan

Friday, September 11, 2009


Normah Abu Jamal menunjukkan beraneka jenis kuih raya di gerainya di Terminal Larkin , Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 10 Sept. - Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, golongan paling sibuk ialah para peniaga yang ligat tak menang tangan menjalankan pelbagai perniagaan terutama kuih-muih.

Namun bagi seorang peniaga kuih dan biskut raya di Terminal Bas Larkin, di sini, Normah Abdul Jamal, 41, kualiti produk dan kepuasan pelanggan tetap menjadi keutamaan.

Katanya, antara jualannya yang menjadi buruan pelanggan dari Johor, termasuk Singapura ialah biskut bantal peluk Saloma sempena nama primadona filem Melayu itu.

Menurutnya, setiap produknya mempunyai rasanya tersendiri dan bukannya rasa tepung yang dimasak seperti kebanyakan kuih raya yang ada dijual di pasaran.

"Bukan menempelak sesiapa, tetapi kebiasaannya bulan Ramadan ini ramai yang menjadi 'peniaga segera.'

"Saya lebih suka pelanggan menghakimi sendiri sejauh mana kesedapan kuih atau biskut saya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya, di sini baru-baru ini.

Dia mengakui pendapatan yang diperoleh daripada jualan kuih dan biskut raya agak lumayan.

"Saya rasa mungkin pada musim perayaan, ramai lebih berminat membeli kuih raya pada jumlah yang banyak kerana ada sebahagian yang membelinya sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Normah memberitahu, sebanyak 60 jenis biskut dijual di kedainya, antaranya coklat badam, biskut lavender, biskut batik, biskut zebra, biskut epal dan biskut MMM.

Kesemua biskut berkenaan dijual dengan harga antara RM7 dan RM28 satu bekas.

Setelah lapan tahun berniaga biskut, Normah berkata, biskut bantal peluk Saloma menjadi buruan ramai pelanggannya.

"Para pelanggan biskut saya datang dari segenap pelosok negeri malah dari Singapura pun ada mencari biskut bantal peluk Saloma," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya