KUALA LUMPUR 23 Sept. - Beberapa pemimpin UMNO menyifatkan calon yang bersih tidak cukup untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar berkata, faktor penerimaan masyarakat setempat terhadap calon juga perlu dijadikan kriteria utama pemilihan.
"Jika calon itu bersih sahaja tapi tidak mempunyai semangat berkhidmat kepada rakyat dan belum diakui kepimpinannya, ia boleh menjejaskan peluang kemenangan BN.
"Calon berkenaan mesti mampu menyatupadukan rakyat di kawasan yang diwakilinya dan parti," katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini yang menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding di DUN Bagan Pinang.
Dr. Mahathir berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon benar-benar bersih.
Mengulas lanjut, Noh berkata, soal calon di Bagan Pinang perlu diberikan perhatian teliti kerana ia banyak menyumbang kepada kemenangan BN.
"Sebagai sebuah parti yang tradisinya membela rakyat, seorang calon BN juga mesti mempunyai aspirasi berkenaan supaya kita mampu meraih kemenangan besar pada pilihan raya kecil itu nanti," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, beliau menghargai pandangan Dr. Mahathir namun dalam masa sama berpendapat, soal kepimpinan calon perlu diberikan perhatian.
"Bagi saya, ia tidak menjadi satu masalah besar jika seorang calon itu hanya pernah diberikan hukuman mengikut disiplin parti dan tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah.
"Saya yakin seorang pemimpin yang pernah dihukum akibat gejala politik wang, sudah mengambil pengajaran di atas hukuman yang pernah dikenakan pada atas dirinya," ujarnya.
Beliau memberi contoh bagaimana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mampu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun mempunyai kes di mahkamah.
"Ia menunjukkan jika seorang calon sudah dikenali oleh masyarakat, mereka tetap akan yakin dengan pemimpin berkenaan walaupun berada di dalam penjara," katanya.
Ahmad juga memberitahu seorang pemimpin yang pernah bersalah akibat politik wang masih boleh diberikan peluang jika benar-benar insaf di atas perbuatan tersebut di samping telah menunjukkan kesetiaan kepada UMNO.
0 comments:
Post a Comment