BATU PAHAT 14 Sept. - Dalam mencari pembantu bagi menyiapkan tempahan biskut yang diterima, Alleeya Cookies lebih senang mengambil pembantu yang kurang berkemampuan sekali gus menjadi satu amal jariah.
Menurut pengusahanya, Ruhayah Asahari, 36, itu merupakan satu bentuk bantuan yang boleh diberikan kerana ada antara mereka yang benar-benar susah mendapatkan pekerjaan sambilan dan mereka perlu dibantu.
Antaranya Mohd. Asri Rauf dan abangnya Mohd. Amirul Rauf yang diberi peluang bekerja sambilan membantu menyusun kuih dalam bekas untuk mencari pendapatan sampingan bagi membuat persiapan hari raya kerana ayahnya terlantar akibat strok.
Mohd. Asri yang masih bersekolah di kelas Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sulaiman, Parit Sulong bekerja sambilan di Alleeya Cookies setiap hari bermula selepas pukul 9 malam.
Begitu juga dengan abangnya yang masih bersekolah di tingkatan lima di sekolah yang sama dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Dua beradik itu bekerja sebagai pembakar biskut dan membantu memasukkan biskut ke dalam botol bagi memenuhi tempahan pelanggan yang diterima.
Tambah Ruhayah, mereka akan mula bekerja selepas solat isyak sehingga pukul 3 pagi, namun mereka tidak pernah ponteng sekolah.
Seorang lagi pembantu di Alleeya Cookies ialah Sabariah Ahmad, 41, pula seorang ibu empat anak berusia antara 7 hingga 20 tahun yang juga susah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap, apatah lagi kesemua anaknya masih bersekolah.
Suaminya, Aris Jalal, 41, bekerja mengambil upah di ladang kelapa sawit yang pendapatannya tidak menentu sekitar RM300 sebulan.
Pada hari-hari biasa, Sabariah mengambil upah mencucuk atap sebanyak 200 keping atap seminggu dan memperoleh pendapatan 50 sen bagi sekeping atap.
''Jadi dalam bulan puasa ini saya cuba cari pendapatan lain (membantu membuat biskut raya) sebab atap ada kalanya tiada," ujarnya.
Sabariah yang tinggal di Kampung Dalam, Parit Sulong juga memelihara ibunya Mahaya Abdul hamid, 85, yang terlantar uzur.
Manakala Rubiah Senan, 42, pula bekerja di warung makan pada hari-hari biasa dan pada bulan puasa warung ditutup menyebabkan dia mencari pekerjaan lain membantu membuat biskut berkenaan bagi menampung keperluan keluarga untuk membuat persiapan hari raya.
Menurutnya, suaminya Mohd. Osman Ali, 47, hanya bekerja kebun dan tidak mempunyai pendapatan tetap. - Utusan
0 comments:
Post a Comment