Modal insan: Jangan hanya manis di mulut

Friday, September 25, 2009

DALAM kolum minggu lalu, kita cakap fasal pembinaan keupayaan atau kapasiti ekonomi di bawah Dasar Ekonomi Baru.

Kunta Kinte harap walaupun tak banyak lagi matlamat dan ciri-ciri DEB yang tinggal - dah dihapuskan satu demi satu atas alasan kita nak bersaing, nak jadi global dan nak amal meritokrasi - matlamat pembinaan kapasiti ekonomi wajib diteruskan, khasnya di kalangan kaum majoriti Bumiputera.

Kalau tak sebab kegiatan membina kapasiti ekonomi ini, tidak ramailah budak-budak Melayu dan Bumiputera yang jadi pentadbir, pengurus, jurutera, doktor, arkitek, juruterbang, ahli sains dan ahli teknologi.

Dalam itu pun, ramai lagi yang tak sampai ke mana-mana. Hanya cukup jadi operator pengeluaran, juruwang di pasar raya, penghantar piza dan kerani am. Ramai jadi macam itu atas pilihan sendiri. Masa sekolah malas. Masa bekerja hendak ambil senang. Nak kerja yang ringan, nak kerja yang bersih dan nak banyak cuti dan rileks.

Ambil cerita mat rempit. Siapa yang silap? Kunta Kinte dah 40 tahun bawa kereta. Masa muda dulu naik motosikal dan skuter. Banyak dah tengok. Makin hari makin teruk disiplin jalan raya. Fasal mat rempit ni, siapa yang salah? Siapa lagi kalau bukan ibu bapa yang tak larang anak bawah umur naik motosikal ke sekolah, ke kedai dan berfoya-foya?

Bukan setakat tak larang, ada yang fasal malas bangkit pagi atau atas alasan sibuk, beli motosikal untuk anak bawah umur pergi sekolah. Awal-awal lagi ajar anak jadi pesalah dan penipu dengan suruh mereka guna jalan kebun atau ban tali air.

Guru, polis dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan pun sama. Lepas batok di tangga saja. Bukan apa, ramai juga anak cikgu, anak polis dan anak pegawai JPJ yang naik motor tanpa lesen atau dah naik pangkat jadi mat rempit penuh masa.

Bila berlanggar dan mati sedih, menyesal dan macam-macam lagi. Pergi sajalah ke wad saraf dan tulang hospital kerajaan dan swasta. Bergantungan mat rempit yang kemalangan jalan raya. Ada yang patah tulang dan ramai yang jadi zombi atau mayat hidup fasal cedera otak dan saraf.

Rugilah bangsa kita kalau generasi muda ambil jalan mudah fasal ibu bapa tidak peduli atau sibuk cari makan, sibuk politik, sibuk tengok drama TV dan takut nak bagi nasihat kepada anak sendiri. Ada ibu bapa yang takut bagi nasihat kepada anak sendiri fasal takut anak-anak merajuk dan lari dari rumah. Maklumlah sekarang senang lari dari rumah sebab ada motor dan kereta.

Akhirnya siapa rugi dan siapa yang malu? Anak bangsa kita dan kita. Semua yang busuk dikaitkan dengan Melayu. Semua yang baik bangsa lain dapat. Beli motor di kedai Cina. Tukar paip exhaust supaya hingar bingar satu kampung di kedai Cina. Hutang beli motor di kedai Cina. Gadai barang emas nak bayar ansuran motor di kedai Cina. Perbaiki motor di kedai Cina.

Tapi bila dah jadi fenomena, tak pula guna nama Cina. Guna nama Melayu. Mat rempit la. Mat spanar la. Minah karan la. Kaki gian la. Yang jadi tauke ganja, candu dan pil khayal tu Melayu ke? Melayu jadi pengedar kampung dan pemadat. Kalau Melayu yang jadi tauke dadah, dah lama kena gantung.

Bila pekerja asing sibuk belajar jadi tukang kayu, tukang besi, tukang elektrik, tukang paip, tukang wayar, tukang masak, juruwang dan pelayan kedai makan, budak-budak kita jadi penghantar piza, McDonald’s dan surat fasal boleh naik motosikal.

Sepatutnya budak-budak kitalah yang belajar jadi tukang kayu, tukang besi, tukang elektrik, tukang paip, tukang wayar, tukang masak, juruwang dan pelayan kedai makan supaya satu masa nanti boleh buka perniagaan sendiri bukan jadi kuli sampai tua.

Kita jangan cepat marah bila ada projek macam F1. Ya lah belanja besar dan banyak lagi rakyat yang susah, yang perlu bantuan. Bantu wajib bantu. Itu kewajipan kerajaan. Tapi kita kena juga fikir masa depan. Kena fikir tentang macam mana nak belajar teknologi, kepakaran dan kemahiran baru.

Kalau kita bagi beras kepada orang susah, dia masak dan dia makan. Esok dia lapar kita kena bagi lagi. Tapi kalau kita bagi dia padi, kita bagi dia tanah dan kita ajar dia buat bendang, benih secupak boleh jadi seguni.

Jadi Kunta Kinte harap pembesar kita tu janganlah cakap fasal rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan saja. Atau sibuk dengan PKI sampai ada dua menteri yang jaga. Tolong tengok macam mana sistem sosial dan pendidikan kita dah jadi tempat melatih mat rempit, kaki gian dan orang muda yang rendah akhlak. Jangan bangga dengan pencapaian cemerlang segelintir pelajar cerdik saja.

Bila mat rempit ini bawa kereta, bawa lori atau bawa bas, mereka buat macam mereka naik kapcai. Tak hairanlah jalan raya kita dak jadi medan tumpah darah.

Jadi tolonglah tengok. Sampai bila budak-budak Melayu nak jadi operator pengeluaran, kerani, pekerja pasar raya, penghantar piza dan GRO? Modal insan apa kalau ramai budak-budak kita kurang akhlak, kurang kemahuan, kurang ilmu dan kurang kepakaran? - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya