Golongan wanita aktif hasilkan tauhu

Saturday, September 12, 2009


GOLONGAN wanita Gerakan Persatuan Wanita Felda Maokil 1, Segamat, menjalankan aktiviti membuat tauhu sebagai punca pendapatan sampingan.

SEGAMAT 11 Sept. - Jika golongan lelaki sibuk di ladang mengerjakan tanaman kelapa sawit atau getah, kaum ibu di Felda Maokil 1 turut mempunyai aktiviti sampingan untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Bernaung di bawah Gerakan Persatuan Wanita Felda Maokil 1, seramai lima orang kaum ibu di tanah rancangan itu kini aktif mengusahakan perusahaan membuat tauhu.

Menurut salah seorang pengusahanya, Janariah Kimun, 47, perusahaan itu baru sahaja dimulakan pada akhir tahun lalu dan ia merupakan salah satu program ekonomi kepada masyarakat Felda.

''Idea untuk memulakan perusahaan ini memang sudah lama difikirkan kerana memang ada keperluan bagi masyarakat untuk mendapatkan tauhu yang diyakini halal.

''Untuk itu, kami telah menyertai kursus membuat tauhu yang dianjurkan di Felda Pemanis dan dari situ kami mula belajar dan membeli dapur serta peralatan," katanya.

Pada masa ini, mereka mampu memproses sebanyak 30 kilogram kacang soya untuk menghasilkan sebanyak 500 keping tauhu, katanya.

''Alhamdulillah, permintaan untuk hasil keluaran kami ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

''Kami berhasrat untuk turut memasarkan produk tauhu ini keluar dari gugusan Felda Maokil," katanya.

Selain itu, Janariah turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Felda dan Jabatan Pertanian kerana telah banyak membantu dalam memberi galakan dan ilmu kepada pihaknya dalam menjayakan perusahaan itu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya