36,000 dapat buku teks percuma

Tuesday, September 15, 2009

Oleh Faiza Zainudin
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 36,000 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bakal menerima bekalan buku teks percuma bernilai RM2.3 juta bagi sesi persekolahan, tahun depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata murid dari Tahun Satu hingga Enam itu akan menerima lima dari sembilan buku teks setiap seorang yang sebelum ini dibeli dengan harga RM8 bagi setiap subjek.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan subjek buku yang akan diberi secara percuma itu, cuma menyatakan murid terbabit mempelajari subjek antaranya tajwid, Jawi, Arab, hadis, akhlak, akidah dan al-Quran.

“Buat permulaan pada tahun depan, Jawi akan memberi lima buku teks setiap seorang secara percuma tanpa mengira pendapatan keluarga atau adik-beradik sama ada mereka bersekolah di SRA yang sama.

“Pada 2011, kami akan cuba memberi bantuan semua buku teks secara percuma membabitkan sembilan subjek, namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan dan peruntukan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis khatam al-Quran SRA dan kelas al-Quran Fardu Ain (Kafa) anjuran jabatan itu di sini, semalam.

Majlis kali kedua dianjurkan itu disertai seramai 4,000 murid SRA dan Kafa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Che Mat yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya juga akan menerbitkan buku teks sendiri bagi kegunaan murid SRA pada tahun depan.

Katanya, penerbitan itu selaras dengan evolusi pembangunan pendidikan Islam di tiga wilayah berkenaan yang berlaku dengan pantas.

“Serentak dengan itu, kurikulum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diselaraskan dengan Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pada 2010,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Mat berkata kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan kubur bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan tanah perkuburan di ibu kota kerana tanah perkuburan sedia ada mencukupi sehingga Mei 2061.

Katanya, Tanah Perkuburan Islam berhampiran Lebuh Raya Karak, dekat sini mampu menampung kira-kira 80,000 jenazah manakala 37 tanah perkuburan di sekitar bandar raya penuh dengan kepadatan 95 peratus.

“Pihak kami juga menyediakan kemudahan dua kereta jenazah mewah secara percuma kepada mereka yang dikebumikan di luar Kuala Lumpur, ” katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya