Pas Selangor kaji kedudukan dalam pakatan pembangkang

Friday, September 25, 2009

SHAH ALAM 24 Sept. – Pas Selangor sedia mengkaji secara terperinci cadangan mana-mana wakil rakyat yang mahu parti itu melihat semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang di negeri ini.

Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan mengadakan satu menyuarat tergempar dalam masa terdekat ini untuk membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga amat kesal, kecewa dan terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berikutan tegurannya mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Menurut beliau, lebih mengecewakan ialah kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang amat mengejutkan parti kerana beliau sebagai pemimpin Pas negeri harus menyokong pendirian parti.

“Jika mereka mahu Hassan letak jawatan sebagai Exco dan Pesuruhjaya di negeri ini bermakna mereka mahu Pas keluar dari negeri ini kerana Hassan adalah Pesuruhjaya kami.

“Mereka semua ini hanya tahu mengeluarkan kenyataan membuta tuli tanpa menyelidik dahulu apa yang sebenarnya Hassan maksudkan. Setahu kami Hassan bermaksud baik bukan mempertikaikan kewujudan dan kuasa Selcat.

“Kami juga tidak faham atas kapasiti apa Khalid mengeluarkan kenyataan dan akan menyelidiknya sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa wakil rakyat yang mahu Hassan keluar daripada pakatan pembangkang negeri jika tidak lagi mampu bekerjasama dengan wakil rakyat DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Desakan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini itu dibuat beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Khalid, Mohd. Azmi dan Santiago.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin dalam kenyataannya yang dikeluarkan pagi ini menegaskan, Pas Selangor tetap dengan pendiriannya mendesak proses pendengaran ke atas pegawai tinggi kerajaan yang dijalankan Selcat dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai yang terlibat dan dapat mengelak daripada diaibkan.

Ini kerana kata beliau, Selcat dan kerajaan negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada ‘anugerah penyapu’ ciptaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya