|
|
KUCHING 15 Sept. - Seramai 2,234 pemegang saham kelapa sawit bagi zon Simunjan dan Gedong bakal menerima duit raya menerusi penyerahan dividen sementara berjumlah RM555,000 oleh kerajaan negeri tidak lama lagi.
Setiap pemegang saham itu akan menerima purata dividen sementara berjumlah RM200 hingga RM2,000 yang akan diserahkan pada 16 dan 17 September ini.
Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber negeri, Mohd. Naroden Majais berkata, kesemua 2,234 pemegang saham itu merupakan penduduk kampung dari Simunjan dan Gedong yang melabur seluas 10,000 hektar tanah mereka untuk projek tanaman kelapa sawit.
Katanya, pemberian dividen sementara itu sedikit menurun tahun ini berikutan faktor harga kelapa sawit di pasaran dunia yang tidak menentu serta pembangunan tanah yang perlahan di situ.
"Kita jangka dalam tempoh tiga tahun akan datang kita mampu siapkan pembangunan itu (kelapa sawit) dan kawasan berkenaan mampu mengeluarkan hasil sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dividen kepada Pemegang Saham Kelapa Sawit bagi Zon Simunjan dan Gedong oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Mohd. Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan memberitahu, setakat ini, 3,600 daripada 10,000 hektar tanah itu telah dibangunkan sepenuhnya manakala selebihnya sedang dalam proses pembangunan.
Katanya, daripada 3,600 hektar itu, 50 peratus daripadanya telah mengeluarkan hasil dan digunakan untuk memberi dividen kali ini.
"Sekiranya siap projek ini dalam tempoh tiga tahun akan datang, insya-Allah kita akan bagi lebih lagi (dividen) kepada pemegang saham," katanya.
Sementara itu, Mohd. Naroden berkata, beliau tidak menolak kemungkinan usaha kerajaan untuk membina kilang pemprosesan kelapa sawit sendiri dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Mungkin dalam tempoh dua tahun lagi, kita akan bina sebuah kilang memproses kelapa sawit 30 tan sejam untuk kawasan Simunjan ini," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment