Pilih calon bersih di Bagan Pinang jika mahu menang besar - Tun Mahathir

Wednesday, September 23, 2009


Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan orang ramai ketika mengunjungi rumah terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, di Kampung Tanjung, Rantau, Negeri Sembilan, semalam. - Utusan/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN 22 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.

Beliau berkata, jika calon tidak bersih diketengahkan dalam pilihan raya tersebut, UMNO mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.

"Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau, dekat sini hari ini.

Dr. Mahathir turut khuatir jika trend pemilihan calon yang tidak bersih diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober sementara pengundian 11 Oktober.

Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk menang dalam pilihan raya kecil berkenaan kerana ia merupakan kubu UMNO.

"Yang kita kalah sebelum ini pun semua di kawasan pembangkang," ujar beliau.

Beliau juga berkata, sokongan kaum Cina dan India masih belum cukup untuk membantu BN memenangi pilihan raya berkenaan.

Kata beliau, faktor itu berpunca daripada pemimpin parti komponen yang masih berhadapan dengan masalah sendiri.

"Saya nampak belum ada perubahan yang boleh dilihat atau mungkin saya belum nampak. Masing-masing masih memikirkan masalah kaum sendiri.

"MIC masih mempunyai masalah dalaman dan saya tidak tahu sama ada mereka boleh menumpukan perhatian dalam berkempen untuk membantu BN," jelas beliau.

Jelas beliau, sekiranya semua pemimpin parti mengutamakan parti dan bukannya diri sendiri, sudah pasti semua masalah dapat diselesaikan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya