Bazar IAT, PTKA sasar jualan RM1.5j

Saturday, September 19, 2009

KANGAR 18 Sept. - Bazar Industri Asas Tani (Bazar IAT) dan Pasar Tani Khas Aidilfitri (PTKA) yang dibuka tiga hari mulai semalam di Perlis dijangka mencatatkan jualan RM1.5 juta.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Muslim Manja memberitahu, jangkaan itu adalah RM600,000 lebih tinggi berbanding kutipan jualan tahun 2008.

Katanya, tiga Bazar AIT dan PTKA yang dibuka mulai semalam hingga esok itu ialah Pasar Tani Taman Sena Indah, Pasar Tani Simpang Empat dan Desaraya Taman Sena Indah di sini.

"Berdasarkan rekod Bazar IAT dan PTKA 2008, pelbagai hasil pertanian termasuk buah-buahan segar dan produk industri hiliran bernilai RM900,000 dijual menjelang Aidilfitri tahun lepas.

"Bagi 2009 pula, Bazar IAT ini diramal merekodkan jualan sehingga RM1.5 juta. Jangkaan itu berdasarkan permintaan terhadap hasil pertanian tempatan yang kian meningkat kebelakangan ini," katanya selepas pelancaran Bazar IAT di Taman Sena Indah di sini.

Muslim memberitahu, Bazar IAT dan PTKA 2009 dikendalikan oleh 180 peserta yang terdiri daripada usahawan tani berbanding 130 orang tahun lepas.

Menyentuh bekalan sepanjang tiga hari itu pula, beliau berkata, pihaknya menyediakan 30 ekor lembu dan 30 tan metrik (30,000 kilogram) ayam proses serta 3,000 biji kelapa untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Bekalan lain seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan laut dan pelbagai barangan runcit lain dijamin cukup," jelasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya