KOTA KINABALU 11 Sept. - Rakyat Sabah digesa supaya tidak menjadikan kepelbagaian kaum dan budaya sebagai penghalang meningkatkan persefahaman untuk memajukan negeri bertuah ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, masyarakat majmuk membabitkan lebih 30 suku kaum perlu dijadikan kekuatan dan digembleng untuk membawa lebih banyak kejayaan kepada negeri ini.
"Justeru anak-anak yang merupakan duta kecil negeri Sabah perlulah menjadi contoh terbaik kepada para pelajar dari negeri lain, dari segi perpaduan, kerjasama dan kecemerlangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pelajar Sabah di Semenanjung di Kuala Lumpur semalam.
Lebih 1,000 pelajar dari 18 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menghadiri majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun dan Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Khalil Datu Jamalul.
Musa berkata, Sabah telah membuktikan bahawa walaupun dihuni oleh pelbagai etnik tetapi rakyatnya mampu bersatu padu dan bertoleransi antara satu sama lain.
"Kekuatan seperti ini perlu kita pertahankan dan disemai kepada generasi muda hari ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba disebarkan melalui blog dan portal berita kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) mengabaikan generasi muda.
Katanya, keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan diperlihatkan menerusi setiap perancangan dasar dan pelaksanaan program pembangunan, generasi muda sentiasa mendapat perhatian.
Sebagai contoh, jelas beliau, kerajaan sedang giat membangunkan hab pendidikan Sandakan yang bakal dikenali bandar ilmu menempatkan pelbagai IPT, pusat-pusat latihan dan institusi kemahiran.
"Ia bukan hanya untuk warga Sandakan tetapi bagi faedah rakyat seluruh Sabah terutama generasi muda untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.
"Oleh itu, jangan sia-siakan harapan dan kepercayaan ini kerana selain dari ibu bapa dan keluarga, seluruh rakyat Sabah sebenarnya menaruh harapan dan kepercayaan kepada anda sekalian," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment