PPRT bukti kerajaan BN prihatin

Friday, September 18, 2009

SIBU 17 Sept. - Pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di negara ini membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kebajikan rakyat yang berpendapatan rendah supaya mereka mampu memiliki rumah sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, kerajaan membelanjakan wang yang cukup besar setiap tahun bagi melaksanakan tujuan itu di negara ini.

Menurutnya, kerajaan bukan sahaja membina rumah mereka malah turut membaik pulih rumah untuk golongan miskin.

''Rakyat negara ini amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang prihatin dan sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan kunci rumah di bawah program PPRT di Kampung Jariah di sini.

Awang Bemee memberitahu, sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan program PPRT di daerah Sibu merangkumi RM1.24 juta untuk membina rumah manakala RM280,000 lagi untuk projek baik pulih rumah.

Jelas beliau, sebanyak 21 daripada 31 buah rumah baru di bawah PPRT itu telah siap dibina manakala selebihnya dalam proses pembinaan.

''Bagi projek baik pulih rumah pula, sebanyak 13 buah daripada 19 buah rumah yang dikenal pasti telah berjaya disiapkan," jelas beliau. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya