Bakti peruntuk RM140,000 bantu OKU

Tuesday, September 15, 2009


Rosmah Mansor bersama ahli Bakti bergambar bersama kanak-kanak kurang upaya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Program Semai Bakti anjuran Bakti di Pasar Raya Besar Mydin, Subang Jaya, Selangor, semalam.

SUBANG JAYA 14 Sept. - Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) memperuntukkan bantuan berjumlah RM140,000 kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) menjelang Aidilfitri.

Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, peruntukan itu bertujuan membantu kanak-kanak berkenaan mendapat kelengkapan Aidilfitri selain meringankan bebanan kewangan ibu bapa OKU yang kurang berkemampuan.

''Peruntukan ini akan diserahkan kepada Badan Amal negeri sebelum diagihkan kepada anak-anak OKU di pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang ada di setiap negeri,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Program Semai Bakti anjuran Bakti di Pasar Raya Besar Mydin di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Datin Noorainee Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin.

Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan sumbangan duit raya, dua pasang baju, songkok, kerongsang dan dua jenis kuih raya kepada 72 OKU dari sembilan buah PDK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, katanya, Bakti melalui program Semai Bakti memperuntukkan RM360,000 kepada pusat dan rumah OKU di seluruh negara tahun ini.

Jelas Rosmah, setiap pusat dan rumah berkenaan menerima bantuan RM1,000 bagi membantu menjalankan program serta aktiviti kepada golongan OKU itu.

Beliau juga menyeru syarikat korporat bergabung tenaga dengan Bakti dalam membantu golongan memerlukan sebagaimana Mydin yang sudah empat kali berturut-turut menjayakan program berkenaan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya