Contohi Yayasan Albukhary bantu pelajar miskin - TPM

Tuesday, September 15, 2009


MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan pelajar dari Afghanistan, Zabihullah Noory sambil diperhatikan oleh Syed Mokthar Albukhary serta sebahagian penuntut UIA pada majlis berbuka puasa di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Nooradzrene Mohd. Noor

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta lebih banyak badan kebajikan Islam tampil mencontohi Yayasan Albukhary dalam membantu pelajar miskin mendapatkan peluang pendidikan terbaik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesej itu perlu disampaikan kerana apa yang dilakukan oleh yayasan tersebut merupakan salah satu jihad dalam Islam.

Beliau berkata, hasil daripada usaha yayasan berkenaan, ribuan pelajar miskin dan tidak berkemampuan telah mendapat manfaat.

''Sebagai contoh, dalam program tuisyen Yayasan Albukhary, kira-kira 15,000 pelajar miskin telah dibantu setiap tahun.

''Begitu juga dengan tawaran biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi khusus dari negara Islam dan sehingga kini lebih 400 pelajar telah mendapat faedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penuntut-penuntut tajaan Yayasan Albukhary di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pelajar-pelajar program tuisyen Yayasan Albukhary di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Sehingga kini, Yayasan Albukhary telah membelanjakan sebanyak RM48 juta untuk program tuisyen Yayasan Albukhary dan RM25 juta untuk program biasiswa Yayasan Albukhary.

Dalam pada itu, Muhyiddin menganggap apa yang telah dilakukan oleh yayasan tersebut adalah mengikut jejak langkah salah seorang sahabat besar Rasulullah iaitu Abdul Rahman Bin Auf.

Beliau berkata, semasa hayatnya, Abdul Rahman telah mengorbankan sebahagian besar hartanya untuk dibelanjakan ke jalan Allah.

''Saya lihat Yayasan Albukhary amat komited untuk membangunkan ummah sama sepertimana peranan yang dimainkan Abdul Rahman.

''Saya harap selepas ini lebih banyak lagi badan-badan kebajikan Islam mencontohi Yayasan Albukhary dan sekali gus turut mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh sahabat besar Rasulullah yang terkenal dengan kemewahannya iaitu Abdul Rahman Bin Auf," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya