Setiu jelapang padi Terengganu

Thursday, September 17, 2009


HASIL pertama projek perintis padi yang dilaksanakan melalui Rancangan Pengairan Jelapang di Kampung Jelapang, Setiu, baru-baru ini.

SETIU 16 Sept. - Jika dahulu, sebut sahaja negeri jelapang padi pastinya Kedah merupakan negeri pertama yang terlintas di fikiran.

Namun kemajuan perkembangan tanaman ruji ini yang semakin berkembang menjadikan ia mampu dimajukan di negeri lain.

Terbaru, negeri Terengganu kini mampu mendabik dada apabila tanah seluas 735 hektar yang pernah gersang selama lapan tahun dahulu kini subur menghijau dengan sawah padi seluas mata memandang.

Kampung Jelapang di Daerah Setiu telah dipilih menjadi projek perintis kepada tanaman ini.

Projek bernilai RM46 juta itu berpotensi untuk menghasilkan tanaman padi dua kali setahun yang bakal meningkatkan tahap sara diri rakyat negeri itu hampir 55 peratus.

Seramai 200 petani daripada kawasan tersebut telah terlibat dalam projek berkenaan di mana setiap petani diagihkan tanah seluas 3.9 hektar untuk diusahakan dengan tanaman itu.

Siapa sangka tanah yang hampir dibiarkan itu akhirnya berjaya dimajukan hasil idea bernas Menteri Besar Terengganu yang ingin melihat rakyatnya keluar daripada kepompong kemiskinan yang selama ini membelenggu mereka.

Difahamkan, pada 1972 hanya enam orang petani yang mula mengusahakan tanah sawah di sekitar kampung tersebut namun ketika itu masih tiada kelengkapan pengairan.

Setelah hampir 30 tahun mereka mengusahakan sawah tersebut pada 2002 masalah pengairan timbul sehingga menyebabkan para petani terpaksa berhenti daripada meneruskan penanaman padi.

Natijahnya, selama lapan tahun tanah tersebut dibiarkan sehinggalah pada Jun 2008 lalu, ia dipilih sebagai jelapang padi Negeri Terengganu melalui Projek Pengairan Jelapang yang telah dirasmikan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Jika lapan tahun lalu petani di sini terpaksa berhenti daripada menanam padi kerana tiada sistem pengairan yang sistematik, namun kini mereka tidak perlu bimbang lagi apabila segala kemudahan pengairan dan infrastruktur telah dilengkapkan.

Dengan menggunakan sumber air dari Sungai Bari dengan keluasan tadahan seluas lebih kurang 37 kilometer persegi, tanaman padi di kawasan tersebut hidup subur.

Tambahan pula kemudahan sistem tali air, jalan ladang, jambatan, pembetung, rumah pam dan pam saliran telah disediakan.

Selain itu, pintu kawalan air turut dipasang bertujuan mengawal pasang surut air dan mengelakkan air masin masuk ke dalam sistem pengairan selain menyediakan bekalan air pada musim kemarau.

Bagi mengelakkan limpahan air Sungai Bari daripada menenggelami sawah, sebuah ban telah dibina di sebelah sungai tersebut setinggi lebih kurang 1.5 meter selain mendalamkan dan melebarkan sungai itu.

Kerajaan negeri juga membina parit saliran sepanjang 42,335 meter untuk mengalirkan air keluar dari sawah ke Sungai Bari.

Projek yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu itu turut menerima bantuan tenggala, benih, baja dan racun dalam tempoh percubaan daripada jabatan tersebut.

Justeru, tidak mustahil program penanaman padi itu akan membuahkan hasil lumayan sekiranya mendapat kerjasama penduduk setempat untuk memajukan kawasan itu.

Selain itu, kerajaan negeri turut menggalakkan penduduk yang mempunyai tanah yang terbiar agar memberikannya kepada kerajaan untuk dimajukan.

Sudah menjadi kebiasaan di mana penduduk lebih gemar 'menyimpan' tanah mereka berbanding dimajukan dengan pelbagai jenis pertanian lain.

Sehubungan itu, seharusnya kaedah Projek Pengairan Jelapang ini dicontohi oleh semua pihak dan dijadikan projek perintis untuk projek lain. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya