Masjid Bandar, pusat tahfiz

Tuesday, September 15, 2009


Rajali Hamzah Asmat (kanan) memberi bimbingan kepada pelajar tahfiz menguasai dan menghafaz al-Quran di Masjid Bandar, Kota Kinabalu. - utusan/Ghazali Basri

KOTA KINABALU 14 Sept. - Sebut sahaja nama Masjid Bandar atau SDA, pasti rata-rata umat Islam di negeri ini mengingatinya sebagai sebuah gereja yang telah ditukar menjadi sebuah masjid.

Masjid yang berdiri megah itu kini menjadi lambang kepada keagungan dan kekuatan Islam di negeri di bawah bayu ini.

Ia kini menjadi tempat umat Islam di negeri ini beribadat khususnya menunaikan sembahyang fardu.

Namun, apa yang menariknya di masjid itu juga wujud sebuah pusat tahfiz yang dikenali sebagai Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran As-Syafibiyah (PPTQAS).

PPTQAS yang sudah tiga tahun beroperasi di masjid berkenaan bukanlah sebuah pusat tahfiz terkenal yang telah melahirkan ramai penghafal al-Quran.

Bagaimanapun, pusat tahfiz yang diasaskan seorang pendakwah, Julniealam Amilussin itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang mungkin tidak terdapat di pusat-pusat tahfiz al-Quran yang lain di negara ini.

Ini kerana ada kalangan pelajarnya merupakan kanak-kanak saudara baru Islam dan juga golongan yang dahulunya bergelar kanak-kanak jalanan.

Kewujudan pusat itu memberi sumbangan besar dalam mengubah kehidupan anak-anak Islam yang tidak berkemampuan dan terbiar menjadi individu yang boleh menjadi pemimpin dan mencorak masa depan umat dan negara.

Meskipun dalam keadaan kelengkapan dan kemudahan yang serba kekurangan, pusat itu menjadi harapan dan sinar baru kepada kanak-kanak miskin dan anak-anak yatim yang tidak mampu bersekolah.

Setiausaha PPTQAS, Rajali Hamzah Asmat, 33, berkata, pusat itu kini mempunyai seramai 29 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dari keluarga miskin dan juga anak-anak yatim.

"Pusat ini sebenarnya mula ditubuhkan pada 2005 di Kepayan dekat sini sebelum dipindahkan ke Masjid Bandar ekoran pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 2007.

"Pusat yang diketuai Ustaz Julniealam ini telah didaftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jaheins) dan turut dikendalikan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia)," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pusat itu kini menyediakan pembelajaran asas al-Quran dan juga menghafaz al-Quran.

Jelasnya, pada masa ini terdapat dua tenaga pengajar yang bertugas di pusat itu termasuk seorang bekas pelajarnya.

"Pembelajaran di sini adalah secara sistematik dan teratur di mana terdapat jadual waktu yang telah ditetapkan untuk mereka belajar dari Isnin hingga Jumaat manakala hari Sabtu dan Ahad cuti," ujarnya.

Jelasnya, kos bagi menampung pembelajaran dan makan minum pelajar diperolehi melalui sumbangan dari Usia dan juga orang ramai.

Katanya, setakat ini tiada peruntukan tetap diberikan kepada pusat itu oleh kerajaan sebaliknya pihaknya menerima bantuan wang ringgit dan bekalan makanan melalui derma orang ramai.

"Meskipun yuran masuk sebanyak RM350 seorang dan yuran bulanan sebanyak RM100 dikenakan, namun kita tidak pernah memaksa ibu bapa membayar, cukup sekadar kemampuan mereka sahaja," ujarnya.

Jelasnya, pada masa ini pihaknya mengehadkan jumlah pelajar seramai 30 orang sahaja memandangkan ruang asrama yang sempit selain kekurangan tenaga pengajar.

Menurutnya, pihaknya merancang untuk memperbesarkan lagi pusat itu dengan menyediakan asrama yang sempurna kepada pelajar tahfiz.

"Baru-baru ini Julniealam telah meninjau tapak baru dekat sini dalam usaha menyediakan asrama dan pusat tahfiz yang lebih besar dan selesa. Bagaimanapun, pembinaannya bergantung kepada kemampuan kewangan kami," katanya..

Justeru katanya, sekiranya mana-mana pihak ingin menghulurkan bantuan untuk keperluan pelajar atau pun untuk pembinaan pusat tahfiz itu boleh menghubungi Usia di talian 088-240151 atau 088-250766. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya