238 saudara baru terima bantuan Aidilfitri

Friday, September 18, 2009

SEREMBAN 17 Sept. - Sebanyak 238 orang saudara baru dari seluruh negeri ini menerima sumbangan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM200 seorang itu disampaikan pada majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan hari raya sempena Ihya Ramadan Saudara Muslim di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini, malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Unit Ukhuwah JHEAINS, Noraida Mohammad, bantuan tersebut disalurkan bagi membantu golongan itu membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

"Bantuan ini adalah khusus bagi saudara-saudara baru yang memeluk Islam tahun ini. Setiap tahun Bahagian Dakwah JHEAINS akan mengadakan program ini untuk meraikan golongan ini.

"Sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri," ujarnya.

Majlis anjuran JHEAINS itu turut dihadiri 800 jemputan yang terdiri daripada saudara baru dari seluruh negeri ini.

Sementara itu menurut Noraida, melalui ceramah agama yang menjadi sebahagian daripada aturcara program, golongan tersebut didedahkan dengan kelebihan bulan Ramadan.

Tambah beliau, program Ihya Ramadan Saudara Muslim itu juga turut diadakan untuk Orang Asli di seluruh daerah negeri ini meliputi empat zon iaitu Kuala Pilah dan Tampin, Rembau, Seremban dan Port Dickson serta Jelebu dan Jempol. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya