RM1.5 juta baiki 500 rumah usang di manek urai

Monday, September 28, 2009

KUALA KRAI 27 Sept. - Kerajaan Pusat melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan RM1.5 juta bantuan kepada penduduk miskin tegar di kawasan Manek Urai bagi membaiki kediaman daif mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, peruntukan itu adalah untuk 500 buah rumah daif yang telah dikenal pasti di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM3,000 bagi setiap rumah daif yang dikenal pasti diperuntukkan untuk dibaiki.

"Kita akan bagi bantuan kepada mereka sama ada untuk baiki atap rumah atau lantai dan kesemua bantuan ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahkan kunci rumah kepada Salleh Mohamed, 51, di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Manek Urai di sini, hari ini.

Mengenai program PPRT, beliau berkata, program itu diharap akan dapat mengurangkan beban penduduk di kawasan tersebut terutamanya bagi penduduk miskin tegar.

Mustapa berkata, sebanyak 45 buah rumah telah siap dibina di bawah program PPRT kepada penduduk kawasan tersebut sehingga kini.

"Kita lihat kebanyakan rumah penduduk di kawasan Manek Urai ini daif dan tumpuan lebih akan diberikan untuk membantu mereka," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Salleh berkata, beliau bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Pusat kerana keluarganya kini dapat memiliki dan mendiami kediaman yang selesa.

"Sejak mendirikan rumah tangga 21 tahun lalu, baru kali ini kami dapat memiliki rumah sendiri dan ini juga dianggap sebagai hadiah Aidilfitri kepada kami sekeluarga," katanya.

Beliau yang merupakan seorang penoreh getah dengan empat anak telah menunggu selama 15 tahun untuk bantuan kediaman daripada kerajaan negeri tetapi gagal dan impiannya menjadi kenyataan kini setelah beliau memohon kepada kerajaan Pusat pada 2004. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya