Rosmah kagum pembangunan Port Dickson

Monday, September 28, 2009


Rosmah Mansor memangku Ummi Saiyidatol Zahirah Abu Hori dan Raja Salbiah Tengku Nujumudin (kiri), meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON 27 Sept. - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kagum dengan pembangunan daerah ini yang semakin pesat berbanding beberapa tahun lalu.

Sambil mengakui sudah lama tidak berkunjung ke situ, katanya, beliau masih ingat ibu bapanya sering membawa beliau ke Port Dickson untuk berkelah di tepi laut.

"Sewaktu dalam perjalanan ke sini tadi, saya seperti tidak kenal bahawa ini adalah Port Dickson. Dahulu bukan macam ini, jalan pun satu hala saja. Kalau satu kereta lalu kereta lain terpaksa berhenti.

"Alhamdulillah, saya lihat penduduk di sini memang selesa kerana sudah ada lebuh raya yang membolehkan mereka ke Seremban dan ibu negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan berhari raya bersama penduduk di Kampung Baru Sirusa di sini hari ini.

Hadir sama ialah isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan Ketua Kampung Baru Sirusa, Tusiran Pesan.

Rosmah menambah, penduduk di sini seharusnya mensyukuri pembangunan tersebut berbanding dengan penduduk di negara lain yang jauh lebih susah.

"Kalau kita tidak rasa susah, kita tidak tahu erti kesusahan seperti negara lain yang makan pakai tidak cukup, kalau sakit nak pergi hospital pun kena bayar. Tetapi di sini semua cukup," tambah beliau.

Rosmah turut melahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu dengan penduduk di kawasan itu dalam program anjuran Wanita UMNO Bahagian Teluk Kemang tersebut.

Sementara itu, tuan rumah program tersebut, Mujer Salijo, 58, berasa terharu dengan kehadiran isteri Perdana Menteri ke rumahnya.

"Ia sangat bermakna untuk saya sekeluarga dan seluruh penduduk kampung ini kerana beliau sudi meluangkan masa bersama kami semua pada petang ini," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya