EGM MCA untuk selesaikan masalah bukan api-apikan isu - PM

Monday, September 21, 2009

PUTRAJAYA 20 Sept — Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Okt ialah untuk menyelesaikan kemelut yang melanda parti politik kedua terbesar di negara ini dan bukannya untuk mengapi-apikan isu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulangi bahawa UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak berniat untuk campur tangan dalam perbalahan pucuk pimpinan MCA, Najib yang juga Pengerusi BN berkata adalah penting bagi MCA menyelesaikan masalahnya kerana kegagalan berbuat demikian akan memberikan kesan terhadap sokongan rakyat kepada komponen BN.

“Mereka perlu mengadakan EGM untuk menyelesaikan krisis dalaman parti dan bukannya untuk memusnahkan parti. EGM adalah untuk memastikan parti dapat diperkukuhkan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka nasional anjuran Perdana Menteri dan menteri Kabinet di Seri Perdana, di sini hari ini.

EGM MCA diadakan berikutan pemecatan timbalan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bulan lepas. Semalam, jawatankuasa pusat MCA memutuskan untuk menggantung keanggotaan Dr Chua selama empat tahun berkuasa kuasa serta merta, mengubah keputusan Majlis Presiden pada 26 Ogos yang memecatnya.

EGM itu akan membincangkan lima resolusi iaitu mengemukakan usul tidak percaya terhadap presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, untuk membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Dr Chua, untuk mengembalikan jawatan timbalan presiden kepada Dr Chua, untuk membatalkan mana-mana pelantikan yang dibuat sebelum EGM dan tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang bersetuju diadakan EGM.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kejadian terbaru tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur telah menimbulkan kebimbangan akan berlaku satu lagi kejadian tanah runtuh besar-besaran di kawasan itu.

Pada 6 Dis tahun lepas, kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa meranapkan 14 banglo dan meragut empat nyawa.

“Kami bimbang ini akan membawa kepada bencana lebih besar yang akan memusnahkan aset. Terlalu banyak pembangunan di kawasan itu telah menyebabkannya terdedah kepada bahaya. Usaha perlu dilakukan untuk memperkukuhkan dan menstabilkan lereng bukit di kawasan itu,” katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya