50 mat rempit ikuti program pemulihan

Saturday, September 19, 2009


Najib Tun Razak dan penaung Permata Negara, Rosmah Mansor pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program Permata Negara di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Shahrizat Abdul Jalil (kiri) dan Naib Canselor UKM, Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

PUTRAJAYA 18 Sept. - Seramai 50 orang mat rempit berusia 18 hingga 25 tahun bakal menyertai kumpulan pertama program pemulihan khas Remaja Perkasa Negara bagi membentuk mereka menjadi belia yang berjaya dalam kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek perintis di bawah Permata Negara itu yang dijadual bermula awal Januari depan akan mendedahkan mereka dengan kemahiran memimpin dan menguasai diri.

Menurutnya, program tersebut memakan masa antara dua minggu hingga enam bulan dan akan dilaksanakan di sebuah pusat khas terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

"Mereka (mat rempit) yang terpilih ini merupakan golongan tegar dan telah melakukan kesalahan sama berulang kali.

"Program ini bukan bertujuan menghukum tetapi memberi keyakinan supaya mereka menjadi manusia berguna dan lebih berjaya," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program Permata Negara di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Najib menambah, golongan remaja bermasalah termasuk pesalah juvenil juga akan dikenakan hukuman khidmat masyarakat dan bukan lagi dipenjarakan.

Jelasnya, langkah tersebut dilihat lebih berkesan dalam usaha pemulihan daripada dihantar ke penjara kerana dikhuatiri akan mendedahkan mereka dengan golongan penjenayah yang lebih berbahaya.

"Peruntukan undang-undang mengenai perkara ini sudah pun diluluskan.

"Mereka yang terlibat dengan hukuman ini juga akan dipantau dan dibimbing kepada orientasi lain yang boleh memberi kesan positif," ujarnya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan juga bersetuju melaksanakan beberapa program di bawah Permata Negara, iaitu Program Permata Pintar, Program Permata Seni dan Program Permata Insan.

Program Permata Pintar akan disertai oleh 405 pelajar berkebolehan tinggi dan luar biasa dari seluruh negara untuk menyertai kem motivasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal 2011.

Program Permata Seni pula memberi fokus kepada kegiatan koir dan seni muzik.

Sebagai permulaan, seramai 33 pelajar telah terpilih untuk menyertai kumpulan koir bertaraf antarabangsa seperti Vienna Boys' Choir.

Pada masa sama, Program Permata Insan melibatkan para pelajar sekolah agama rendah (SAR) berusia antara sembilan hingga 12 tahun yang cemerlang dalam akademik bagi melahirkan golongan yang bukan sahaja mahir dalam agama tetapi berpotensi menjadi profesional teknokrat dan saintis.

Program Permata Negara yang diperkenalkan pada 2006 sehingga kini berjaya mewujudkan 427 Pusat Anak Permata Negara melibatkan 17,565 orang kanak-kanak.

Penubuhannya telah memberi faedah kepada 540 kontraktor kelas F dan peluang pekerjaan kepada 1,196 orang. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya