Harvard buat kajian pembaharuan berani Najib

Saturday, September 26, 2009

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Harvard Business School di Boston akan melaksanakan satu kajian kes dengan tumpuan kepada inisiatif berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani krisis kewangan.

Kajian kes berkenaan, yang akan digunakan sebagai subjek dalam kurikulum teras modul makroekonomi, akan memberi pendedahan mengenai bagaimana krisis itu merebak di peringkat antarabangsa.

Ia juga akan membincangkan mengenai bagaimana sebuah negara yang mempunyai asas yang kukuh dan peraturan yang baik boleh bertahan dengan krisis antarabangsa.

Malaysia berjaya mengukuhkan institusi kewangan, insurans dan perbankan berikutan krisis mata wang 1998, demikian menurut Kelab Alumni Harvard Business School Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

“Selain pembaharuan berani Najib, kajian Harvard itu juga akan memberi tumpuan kepada pelbagai pendekatan liberalisasi ekonomi, langkah yang diambil bagi menyediakan negara untuk Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” kata presiden Alumni Tan Sri G. Gnanalingam.

“Harvard juga akan menumpukan kepada bagaimana negara meletakkan dirinya dalam perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara lain dan bagaimana zon ekonominya bersedia untuk tarikan pelaburan langsung asing,” katanya. – Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya