KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membangunkan sektor pertanian termasuk akuakultur yang berpotensi untuk dikembangkan bukan saja bagi menampung keperluan pengeluaran makanan, malah mampu memangkin ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan sistem sokongan bagi menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan.
Justeru, beliau mempelawa pelabur asing menceburi sektor pertanian terutama dalam pengeluaran makanan berikutan potensi besar bidang serta sokongan kerajaan.
“Sektor pertanian terutama akuakultur berpotensi dikembangkan dan dengan pelbagai teknologi baru dan sokongan kerajaan, ia dapat menarik pelaburan dalam bidang ini, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam sesi Meeting of Minds bersama Pengerusi dan Ketua Eksekutif (CEO) Forbes, Steve Forbes sempena Persidangan CEO Global 2009 di sini, semalam.
Selain sektor pertanian, Muhyiddin berkata, kerajaan memberi penekanan dalam sektor pelancongan yang menjadi antara sektor utama penyumbang pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita menerima dua juta pelancong setiap bulan dan berharap Malaysia mencatatkan lebih 22 juta pelancong ke negara ini tahun ini.
“Kita juga sudah menerima lebih 13,000 peserta program Malaysia Rumah Keduaku yang memberi banyak insentif cukai bagi menarik lebih ramai warga asing memilih Malaysia sebagai tempat tinggal mereka,” katanya.
Mengenai langkah kerajaan menangani keganasan, Muhyiddin berkata, satu pendekatan menyeluruh perlu diambil jika masalah itu ingin diatasi sepenuhnya.
“Masalah keganasan perlu diatasi secara holistik dan bukannya mengambil tindakan jangka pendek. Jika seseorang itu gembira dengan keadaan persekitarannya, saya tidak fikir mereka akan memilih untuk menjadi pengganas,” katanya sambil menekankan Malaysia sentiasa bekerjasama dengan negara lain dalam pelbagai aspek termasuk maklumat perisikan bagi menangani masalah itu.
Muhyiddin turut melahirkan harapan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) diteruskan sejurus selepas mendapat isyarat daripada Washington.
“Kita mahu meneruskan rundingan tetapi masih menunggu isyarat daripada pentadbiran AS,” katanya. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment