MARDI terus cemerlang dalam penyelidikan

Monday, February 1, 2010


Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman (kiri) memberikan penerangan mengenai produk hasil inovasi MARDI kepada Rohani Abdul Karim di Serdang baru-baru ini.


HASIL penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diiktiraf dalam pertandingan sains dan teknologi di dalam mahupun di luar negara.

Di peringkat kebangsaan, MARDI menempa nama semasa Pameran Inovasi Kebangsaan (NICE) 2009 dan Pameran BioMalaysia manakala di peringkat antarabangsa semasa Pameran Perdagangan Antarabangsa (IENA) Nuremberg, Jerman dan terkini Pameran Brussels Innova di Belgium.

Semua ini membuktikan teknologi yang dijana MARDI diiktiraf serta mampu memberikan manfaat kepada petani dan usahawan tempatan.

Sebanyak tujuh teknologi MARDI dipamerkan semasa NICE dan dua teknologi diberikan Anugerah Inovasi Negara 2009 iaitu Mesin Otosil bagi kategori industri dan Beras MR219 bagi bioteknologi.

Ini merupakan satu pengiktirafan bagi Beras MR219 yang berjaya menyumbang kepada pengurangan nilai import beras negara.

Semasa itu dua daripada tiga teknologi MARDI yang dipamerkan berjaya menggondol pingat emas manakala satu lagi pingat perak.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd Shukor Abd Rahman amat berbangga dengan salah seorang pemenang anugerah yang juga merupakan seorang saintis muda.

"Beliau berjaya mencatatkan reputasi membanggakan dengan penghasilan teknologi seperti penghasilan asid nitro humik yang menggunakan kaedah kitar semula.

"Teknologi bukan saja mendapat pengiktirafan tinggi tetapi juga berjaya dikomersialkan oleh CCM Fertilizers Sdn Bhd," katanya.

Selain itu lapan hasil kajian bioteknologi MARDI telah memenangi tiga pingat emas lima pingat perak semasa Pameran BioMalaysia 2009 yang telah berlangsung bulan lalu.

Pada pameran berkenaan MARDI juga menerima Anugerah Paling Inovatif bagi 'Immuno-Dot-Blot Test: A Rapid Diagnostic Kit for the Detection of Salmonella in Meat' bagi mengesan bakteria Salmonella dalam daging bagi tempoh satu jam berbanding tiga hingga lima hari menggunakan kaedah konvensional.

Semasa pameran Brussels Innova ke 56 di Belgium, tahun lepas, MARDI mempamerkan tiga teknologi terkini dengan dua memenangi pingat emas dan satu perak.

Lebih membanggakan lagi apabila hasil penyelidikan Mesin Menuai Kenaf Bersepadu telah diberikan Anugerah Khas Association of Polish Inventors and Rationalizers.

Dr. Shukor berkata, empat kejayaan besar berkenaan merupakan penghargaan bagi MARDI yang menjangkau usia 40 tahun.

Dalam usaha menjalankan pelbagai penyelidikan seawal tahun 1970an, teknologi dan inovasi MARDI semakin diiktiraf sehingga ke peringkat global.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, MARDI juga merangkul tiga pingat emas pada Pameran BioMalaysia 2009 antaranya Penghasilan kit diagnostik mengesan kehadiran bakteria Salmonella dalam daging
''Produk tersebut yang merupakan hasil penyelidikan Noor Azlina Masdor turut mendapat hadiah Produk Paling Berinovasi,'' ujarnya,

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar mengumumkan kejayaan MARDI pada penyertaan di tiga pameran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di ibu pejabat MARDI, di Serdang baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman.

''MARDI juga merangkul tiga pingat emas pada Pameran BioMalaysia 2009 antaranya penghasilan kit diagnostik mengesan kehadiran bakteria Salmonella dalam daging,'' katanya.

Produk tersebut yang merupakan hasil penyelidikan Noor Azlina Masdor turut mendapat hadiah Produk Paling Berinovasi.

Menurut Rohani lagi, lima penyelidikan lain turut yang turut menyertai pameran tersebut menerima pingat perak.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, beliau berkata, penyelidikan tersebut perlu dipatenkan terlebih dahulu sebelum dikomersialkan memandangkan nilainya yang begitu tinggi.

Beliau berkata, sebagai contoh varieti padi MR219 kini digunakan di 60 peratus kawasan jelapang padi di seluruh negara, sekali gus membuktikan hasil penyelidikan tempatan memberi sumbangan ekonomi kepada negara dan rakyat. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya