Ummah perlu proaktif perkenal kemurnian Islam

Thursday, February 11, 2010

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


TUN MAHATHIR merasmikan Unit Aduan Perkim ketika majlis Sambutan Hari Perkim 2010 
di Kuala Lumpur, malam tadi.
Dr Mahathir mahu Perkim perbetul persepsi bukan Muslim

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata umat Islam kini perlu proaktif memperkenalkan agama itu kepada bukan Islam.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, pada zaman ini Islam dan umatnya sering dikecam serta ditohmah sebagai pengganas.

“Kita sekarang perlu lebih cergas dalam memperkenalkan agama Islam. Kita bertanggungjawab untuk membersihkan imej Islam.

“Untuk itu kita harus meneliti semula ajaran Islam yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis sahih. Kita perlu mengamalkan ajaran Islam sebenar supaya orang bukan Islam melihat kita umat yang paling elok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Maj lis Sambutan Hari Perkim ke-50 tahun dan melancarkan Unit Aduan Awam Perkim di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini malam tadi.
Hadir sama, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Dr Mahathir berkata, dalam konteks negara ini, orang Melayu sebagai umat Islam terbesar mesti memiliki sikap terpuji seperti bertimbang rasa, berbudi pekerti dan pada masa sama mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Di Malaysia jika umat Islam dapat menunjukkan amalan dan budi pekerti memenuhi ajaran Islam, ia akan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam terhadap ajaran Islam,” katanya.

Beliau turut berkata, Perkim perlu memperhebatkan lagi gerakan meningkatkan kefahaman bukan saja di kalangan umat Islam atau saudara baru, malah kepada bukan Islam. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya