|
|
KAJANG 11 Feb. – Penangkapan beberapa individu termasuk pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dalam kegiatan curi pasir baru-baru ini dilihat tidak menggerunkan mereka yang ingin mengaut keuntungan besar dalam aktiviti haram itu.
Ini terbukti apabila kegiatan curi pasir masih berterusan. Kali ini, Sungai Reko terletak di Bandar Teknologi Kajang di sini menjadi sasaran sindiket haram tersebut.
Aktiviti itu bagaimanapun terbongkar dengan penangkapan sembilan lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun dalam satu serbuan hari ini.
Serbuan itu dilakukan oleh 15 pegawai dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat serta Polis Daerah Kajang.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Zainal Abidin Aala berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat pemandu lori dan lima pekerja sindiket curi pasir terlibat.
Kesemua mereka ditahan pukul 10.30 pagi ini ketika leka menjalankan kerja-kerja mengorek dan memunggah pasir dari sungai untuk dijual kepada pembeli di sekitar Selangor.
Katanya, siasatan awal mendapati, kegiatan mengorek pasir dijalankan di atas tanah persendirian tanpa permit yang sepatutnya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat. - Utusan
0 comments:
Post a Comment