Peruntukan RM6 Bilion Untuk Memajukan Pertanian Di Seluruh Negara

Saturday, February 6, 2010

KOTA BAHARU: Kerajaan menyediakan peruntukan RM6 bilion untuk memajukan bidang pertanian di seluruh negara menerusi pelbagai sektor di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata, peruntukan itu bertambah RM2 bilion berbanding peruntukan RM4 bilion yang disediakan kerajaan tahun lepas.



Menurutnya, peruntukan yang besar itu menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap kepentingan rakyat terutama di bidang infrastruktur dan kemudahan asas.

"Walaupun kita tahu kerajaan membuat pemotongan peruntukan di kebanyakan kementerian lain, namun peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ditambah menjadikan RM6 bilion tahun ini, berbanding RM4 bilion," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCID) Ke-15 selama dua hari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran di kementerian itu, Datuk Mohd Azhari Mohd Ghazali yang juga Pengerusi persidangan MANCID dan Pemangku Timbalan Menteri Pertanian dan Pengairan Myanmar, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesatuan Pengairan dan Saliran Myanmar U Ohn Myint.

Mohd Hashim berkata, kerajaan memberi penekanan terhadap bidang pertanian kerana ia merupakan satu-satunya bidang penting yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat luar bandar yang menjadi faktor penyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, peruntukan yang besar itu penting memandangkan ia merupakan asas kepada peningkatan hasil pertanian negara yang menjadi sumber makanan rakyat.

"Dengan penyediaan infrastruktur yang baik kelak, ia mampu menghasilkan bahan pertanian yang baik untuk kepentingan rakyat, selaras konsep gagasan 1Malaysia di mana Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan," katanya.

Mengenai persidangan itu, beliau berkata langkah ini sesuai dengan misi dan dasar kementerian itu untuk membangunkan sektor pengeluaran makanan atau sektor agro-makanan agar ia berdaya saing dan boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

"Usaha mentransfomasikan sektor ini merupakan suatu cabaran yang amat besar memandangkan ia bukan saja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan aktiviti pertanian daripada pendekatan tradisional kepada pengaplikasian teknologi terkini, malah ia memerlukan anjakan minda masyarakat untuk menepis anggapan bidang pertanian merupakan aktiviti mundur dan berkemahiran rendah," katanya.

Mengenai pelaksanaan projek pertanian di Kelantan, beliau berkata kementeriannya memperuntukkan RM50 juta bagi membangunkan bidang infrastruktur melalui empat program utamanya iaitu Projek Bakat di Rantau Panjang, Lawang (Jeli); Sungai Yong (Pasir Puteh) dan Pengkalan Kubor (Tumpat). - mStar online

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya