Celcom Pilih MRSM Balik Pulau Sebagai Printis Program Tunas Muda

Wednesday, February 17, 2010

BALIK PULAU, 17 Feb (Bernama) -- Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau dipilih menjadi perintis kepada program Tunas Muda anjuran Celcom bagi mendedahkan pelajar dengan ilmu keusahawanan yang dijangka diperkenalkan April ini.

Naib Presiden Wilayah Utara Celcom, Saiful Bahrin A. Ghaffar berkata program itu adalah anjuran Celcom Axiata Berhad Kawasan Utara dengan kerjasama Mutiara Smart Computing Sdn Bhd (Mutiara Smart) dan Koperasi Muafakat (Kopakat) MRSM Balik Pulau.

"Program ini adalah bagi pelajar yang benar-benar berminat menjadi usahawan IT," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Welcome back To School dan 1Pelajar 1Netbook di sini Rabu.

Beliau berkata program tersebut telah dijalankan dengan beberapa universiti di utara iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Sebagai permulaan, program ini dijalankan di MRSM Balik Pulau dan 20 pelajar yang berminat akan dijadikan kumpulan pertama untuk menyertainya.

"Celcom akan mewujudkan sebuah kios berkonsep teknologi maklumat (IT) yang akan diusahakan sendiri oleh pelajar terbabit dan mereka akan dilatih serta didedahkan dengan pelbagai ilmu keusahawanan.

Mengenai program 1Pelajar 1Netbook, Saiful Bahrin berkata Celcom bersama Kopakat dan Mutiara Smart akan mengetengahkan promosi produk berkenaan kepada 12 MRSM di wilayah Utara.

"Ia kini sudah diperkenalkan di lima cawangan MRSM iaitu di Merbok, Kubang Pasu, Pendang, Grik dan Felda Trolak.

"Menerusi program ini, kami menyediakan perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran serendah RM6 sehari atau RM20 seminggu tanpa had atau RM50 sebulan tanpa had yang diyakini mampu dimiliki pelajar," katanya. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya