Kerajaan Wujud Konsortium Pertanian Dikenali Synergy Perdana

Wednesday, February 24, 2010

 

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan konsortium pertanian melibatkan kerjasama strategik di antara tiga agensi peladangan negara - Felda, Risda dan Felcra Berhad - yang akan dikenali sebagai Synergy Perdana.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata konsortium yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM300 juta itu, akan mampu mewujudkan sinergi perniagaan bagi mencapai ekonomi berskala besar supaya mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Penubuhan konsortium yang dinamakan Synergy Perdana ini ialah hasil cetusan idea daripada Perdana Menteri bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai projek oleh ketiga-tiga agensi ini secara perkongsian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Felda, Felcra dan Risda, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

MoU kerjasama itu, antara lain meliputi perkongsian pengalaman sistem amalan pertanian, pengurusan ladang dan program pertukaran sementara kakitangan ketiga-tiga agensi berkenaan.

Mohd Shafie berkata sebagai permulaan, Synergy Perdana yang bersifat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diselia oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ditanya mengenai individu yang akan mengetuai konsortium itu, Mohd Shafie berkata perkara itu terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.

Beliau berkata projek pertama konsortium itu ialah bagi pengeluaran baja, yang dijangka bermula April ini.

Bidang itu diberi tumpuan kerana pada masa ini, penggunaan baja oleh ketiga-tiga agensi berkenaan melebihi RM1 bilion setahun.

"Bila baja ini dapat dimatangkan (dikeluarkan), harga baja dapat diturunkan. Ia bukan sahaja dapat membantu ketiga-tiga agensi ini tetapi masyarakat peneroka di luar bandar yang menggunakan baja untuk tanaman sawit dan getah," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kabinet bersetuju mengiktiraf syarikat-syarikat yang berdaftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor (UPK) di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan mereka melaksanakan projek kerajaan.

Beliau berkata melalui pengiktirafan itu, lebih banyak kontraktor dari dua negeri berkenaan boleh terlibat dalam projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi kementeriannya.

"Kabinet pada Rabu bersetuju supaya syarikat-syarikat kontraktor berdaftar di Sabah dan Sarawak diberi kelonggaran itu. Ini adalah hasil perbincangan yang dilakukan bersama Perdana Menteri ketika melawat Sarawak dua hari lepas," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, syarikat kontraktor dari kedua-dua negeri itu perlu menggunakan lesen di bawah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi mendapatkan tender untuk projek kerajaan. -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya