|
|
TIDAK ada yang lebih menggembirakan bagi mereka yang membanting tulang mencari rezeki dengan pendapatan tidak seberapa, melainkan terpilih mendapat bantuan untuk meningkatkan taraf hidup menerusi aktiviti ekonomi.
Apatah lagi bantuan tersebut dihulurkan ketika saat-saat memerlukan, dan ia satu pakej teknologi yang tidak dapat dinikmati oleh ramai orang.
Justeru, bagi Ali Ghani, 54, ia merupakan satu 'nikmat' yang patut disyukuri apabila terpilih dalam program Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Telaga Batin.
KRT tersebut telah menerima bantuan Sistem Akuaponik kelolaan Jabatan Perikanan Terengganu, Jabatan Pertanian Terengganu, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan sebuah syarikat yang berkerjasama membantu membangunkan sistem penternakan ikan secara integrasi dengan tanaman sayur-sayuran secara hidroponik.
''Ia (sistem ini boleh membantu) meningkatkan pendapatan dan tidak sukar untuk mengendalikannya," kata Ali,54, yang berasal dari Wakaf Tengah, Terengganu.
Dia yang bekerja sebagai tukang rumah bersama sekumpulan ahli KRT Telaga Batin dipilih sebagai peserta projek tersebut bertujuan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Sistem Akuaponik adalah gabungan antara ternakan akuakultur dan tanaman secara hidroponik (tanaman tanpa tanah) yang menggunakan air buangan daripada tangki ternakan ikan untuk memberi nutrien/baja kepada tanaman.
Akar tumbuhan berfungsi sebagai penapis biologi untuk membersihkan air dan ini membolehkan air tersebut diguna semula untuk ternakan ikan.
Pada awalnya, pihak KRT Telaga Batin telah menghantar permohonan untuk mengusahakan projek ini kepada Akuatrop dan bagi merealisasikannya, satu pertemuan dan perbincangan beberapa pihak telah diadakan.
Perbincangan tersebut melibatkan Akuatrop Jabatan Perikanan Terengganu, Jabatan Pertanian Terengganu, Pengerusi KRT Telaga Batin dan syarikat WHK Intergrated telah diadakan.
Menurut Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Faizah Shaharom, hasil daripada perbincangan tersebut, Jabatan Perikanan Terengganu dan Jabatan Pertanian Terengganu telah bersetuju memberi dana bagi menyiapkan infrastruktur untuk sistem akuaponik ini.
AKUATROP bertindak dalam pemantauan sistem, terutama pengurusan ikan dan tanaman serta membekalkan benih ikan. Pihak KRT Telaga Batin menyediakan tempat untuk pembinaan sistem dan peserta yang akan mengusahakan sistem ini serta memantau perkembangan projek.
Sesi penyerahan sistem akuaponik kepada peserta telah diadakan serentak bersama satu sesi taklimat serta latihan ringkas tentang cara-cara pengendalian sistem ini dan telah menarik minta kira-kira 57 orang penduduk di sekitar Kg. Telaga Batin.
Sebagai permulaan hanya tiga orang peserta sahaja telah dipilih untuk mengusahakan projek perintis ini.
Kata Faizah lagi, projek tersebut diwujudkan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya, suri rumah/ ibu tunggal dan pekerja kampung.
Katanya, kos keseluruhan projek fasa satu mencecah RM 30, 000 dengan anggaran pendapatan minimum untuk setiap peserta ialah antara RM300 dan RM500 sebulan.
Sebagaimana menurut Ali, projek tersebut mudah dikendalikan yang mana air daripada tangki ternakan keli disalurkan ke tangki tanaman sayur-sayuran.
Sistem tersebut menghasilkan ikan keli segar dan sayur-sayuran yang bebas daripada racun serangga dan baja kimia.
Katanya, ketika ini projek yang dibangunkan adalah untuk ternakan ikan keli dengan tanaman salad kerinting.
Sebenarnya projek tersebut boleh dimanfaatkan untuk ternakan ikan air tawar terutamanya ternakan ikan tilapia dan juga tanaman sayuran berdaun hijau seperti sawi, kangkung dan kalian.
Menurut Faizah lagi, projek perintis ini masih lagi memerlukan penambaikan dan pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengatasi apa juga masalah yang dihadapi oleh peserta.
Antara perkara yang masih dalam perhatian ialah masalah seperti media tanaman menjadi terlalu lembap (water logged) yang boleh menyebabkan pertumbuhan sayuran terbantut atau mati.
Selain itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu juga telah memberi dana kira-kira RM 40 000 bagi menyiapkan projek fasa dua.
Projek ini juga sedang berjalan di tempat yang sama. Selain itu, pihak Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) juga menyatakan minat untuk melaksanakan projek ini di Rantau Manis, Gua Musang Kelantan.
Menurut Pengerusi KRT Kampung Telaga Batin, Che Husin Che Muda, sejak projek tersebut diwujudkan, KRT Telaga Batin sering menerima kunjungan pelawat daripada institusi kerajaan dan swasta.
Ia seolah-olah menunjukkan Sistem Akuaponik juga oleh dijadikan produk eco-pelancongan.
''Sistem ini cukup menarik dan berinovasi, dan hasilnya adalah organik," kata beliau.
Apa yang penting katanya ialah , hasil yang dikeluarkan perlu dipasarkan kerana ia akan menjamin peserta mendapat pulangan seperti yang ditetapkan dalam objektif projek.
Mengenai fasa kedua, katanya, jumlah ikan dan tanaman dapat dihasilkan lebih banyak supaya pulangan peserta juga bertambah. - Utusan
1 comments:
Saya dari pelajar Politeknik Johor Bahru, saya ingin membuat akuaponik ni secara elektronik... untuk membuat porposal..saya memerlukan kebaikan pada ikan...adakah ikan akan membiak lebih pantas???dan sebagainya..boleh membantu saya dalam kajian saya.
Post a Comment