Usahawan cemerlang

Thursday, February 4, 2010



Nasi lemak istimewa D’Danish Wan Nasruddin popular di kalangan pelanggan Pasar Tani Taman Sena.



KANGAR 3 Feb. – Pasar tani bukan sahaja menjadi medan jualan pelbagai hasil pertanian tempatan, malah ia juga menjadi landasan kepada individu untuk mengorak langkah lebih jauh dalam dunia perniagaan, terutama golongan belia.

Malah melalui jualan di pasar tani, ramai belia kini mampu menghasilkan produk jenama sendiri dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Setiausaha Persatuan Usahawan Pasar Tani Perlis, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, tidak mensia-siakan pengalaman yang diperoleh semasa bekerja di kilang dan kini mampu menghasilkan produk minyak kelapa dara yang diproses sendiri dengan jenama Etivico.

Anak muda ini amat serius dalam bidang berkenaan, malah turut membuat makmal sendiri bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk yang dihasilkannya itu.

“Pendidikan yang saya terima dalam bidang teknikal perindustrian ketika belajar di sebuah kolej turut saya gunakan untuk membina mesin bagi pemprosesan minyak kelapa dara,” katanya.

Menurut beliau, jualan minyak kelapa dara pelbagai perisa yang dihasilkan mendapat sambutan amat baik daripada para pelanggan, terutama mereka yang mengetahui pelbagai khasiat yang ada pada produk itu.

Ku Hasrin yang berniaga di Pasar Tani Desa Raya sejak 2007 itu turut menjual rempah ratus dengan jenama sendiri iaitu Rempah Bajet.

Rempah berkenaan dibeli secara borong, kemudian dibungkus semula dalam pek-pek mengikut saiz tertentu sebelum dijual kepada orang ramai.

Sementara itu, Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula menjual baja organik di pasar tani sejak tiga tahun yang lalu dan menariknya baja berkenaan dihasilkan sendiri dengan jenama Biodark.

Baja yang berbentuk serbuk dan cecair itu dihasilkan daripada daun-daun dan akar kayu yang terdapat berhampiran kawasan rumahnya.

Pembuatan baja itu dipelajari bapanya melalui kursus-kursus yang dihadiri seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Penjualan baja ini amat menguntungkan tanpa perlu modal yang banyak dan saya boleh menghasilkan baja serbuk dan baja cecair.

‘‘Baja serbuk sesuai untuk daun, bunga dan buah, manakala baja cecair untuk bunga, buah dan menghindari serangga selain tidak membahayakan binatang ternakan,” ujarnya.

Muhamad Irsyad yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bercita-cita untuk meluaskan perniagaan baja organik dan beliau baru sahaja menamatkan kursus persijilan dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu, Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, pula dahulunya bergiat secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis makanan ‘snek’, nasi lemak dan minuman di pasar tani.

Berikutan penjualan nasi lemak yang mempunyai resipi istimewa yang diwarisi daripada ibu mertuanya itu mendapat sambutan hebat daripada pelanggan, beliau terpaksa meningkatkan lagi jumlah jualannya.

Kini, nasi lemaknya mempunyai jenama sendiri iaitu D‘Danish, malah turut mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai di negeri ini.

“Menyedari sambutan yang menggalakkan, kami turut melebarkan jualan nasi lemak ini ke daerah lain, malah turut mendapat tempahan untuk majlis-majlis keramaian,” katanya.

Beliau yang berniaga di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu turut menjual ayam goreng dengan resipi tersendiri hasil pengalamannya bekerja di sebuah restoran makanan segera. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya